Penghormatan kepada Guru dan Peguambela yang Hebat

Haji Sulaiman Abdullah, seorang peguam terkenal dan rakan baik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), meninggal dunia tiga hari lalu. Ahli majlis dan kakitangan CAP mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Pada tahun-tahun awal CAP, beliau, sebagai Penolong Setiausaha, menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunannya. Beliau menetap di Pulau Pinang ketika itu dan berinteraksi dengan Allahyarham presiden Haji S.M. Mohamed Idris, perintis dalam pergerakan pengguna dan ekologi

Selepas meninggalkan amalan undang-undang untuk mengajar di fakulti undang-undang Universiti Malaya, beliau masih mengekalkan hubungannya dan bekerjasama dengan CAP. Beliau pernah membawa pelajarnya ke persidangan mega CAP agar mereka didedahkan kepada isu keadilan sosial, perlindungan alam sekitar, subversi budaya dan kehilangan nilai tradisi gotong royong dan pembangunan mampan.

Para pelajar dibawa melawat ke kawasan luar bandar untuk mengetahui bagaimana petani dan komuniti nelayan  menyumbang kepada bekalan makanan dan kesejahteraan umum, dan masalah yang mereka hadapi. Mereka juga di bawa melawat tapak perindustrian dan melihat pencemaran sungai dan laluan air.

Beliau juga menghantar beberapa pelajarnya ke CAP untuk memahami masalah yang dihadapi masyarakat dan bagaimana peguam boleh menyumbang untuk mengurangkan masalah mereka. Beberapa orang pelajar tersebut telah dipengaruhi oleh apa yang mereka lihat dan pelajari dan memutuskan untuk bekerja dengan CAP dalam bahagian undang-undang

Beliau memainkan peranan penting dalam menganjurkan kuliah tahunan CAP, khususnya untuk pelajar tahun satu, untuk meningkatkan kesedaran tentang isu pengguna dan alam sekitar. Mesejnya ialah bagaimana undang-undang boleh berfungsi sebagai instrumen untuk mempromosikan keadilan sosial dan perlindungan alam sekitar. Hasil daripada aktiviti tersebut, UM telah memperkenalkan pendidikan pengguna sebagai mata pelajaran di fakulti undang-undang.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) 
Ahli Majlis (Council) CAP
Kakitangan (Staf) CAP

Surat Kepada Pengarang, 21 Disember 2023