Penyeludupan Hidupan Liar di KLIA: Memalukan Negara

Gambar melalui Malaysiakini

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa amat bimbang dengan satu lagi kes penyeludupan hidupan liar yang melibatkan spesies eksotik melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang kekal sebagai pusat transit utama bagi penyeludup dalam perdagangan hidupan liar haram yang berkembang pesat.

Pada awal Mac, dua penyeludup menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Chennai dengan hidupan liar disembunyikan dalam beg pakaian, melaluinya tanpa dikesan di KLIA. Haiwan yang dibawa itu termasuklah lapan spesies eksotik, yang diantaranya ialah Eastern Grey Gibbons, marbled polecats, silvery lutung, dan Sumatran white-bearded palm civet yang terancam. Malangnya, tiga anak ungka (siamang gibbons) ditemui mati.

Antara April 2024 dan Mac 2025, terdapat 11 kes penyeludupan hidupan liar yang diketahui melibatkan ungka, burung koel, penyu, iguana dan spesies lain yang jarang ditemui. Destinasinya termasuklah Bengaluru, Surabaya, Chennai, Hanoi, Port Blair dan Mumbai. India menyumbang hampir 73% daripadanya, dengan empat kes dikesan di Lapangan Terbang Chennai sahaja.

KLIA telah lama dieksploitasi oleh penyeludup kerana jumlah penumpang dan kargo yang tinggi, lokasi yang strategik, dan kehadiran Zon Perdagangan Bebas. Malah pegawai Malaysia, termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi, mengakui KLIA sebagai pintu masuk yang berisiko tinggi.

Sindiket pemerdagangan terutamanya spesies yang bergerak dari Afrika dan Asia Tenggara terus mengeksploitasi pengelakan dan kelemahan penguatkuasaan di KLIA. Walaupun usaha untuk meningkatkan keselamatan dan kerjasama antara agensi, agensi penguatkuasaan kekal selangkah di belakang penyeludup.

CAP berasa amat kesal dengan peningkatan bilangan haiwan eksotik yang diseludup masuk ke India dari Malaysia. Dalam satu kes pada November 2024, 40 haiwan yang jarang ditemui, termasuk rhinoceros iguanas, beaded lizards, kuru-kura dan ungka (agile gibbons) telah diseludup ke India.

Adalah amat membingungkan dan tidak boleh diterima bahawa penyeludup ini boleh menyelinap masuk melalui kawasan keselamatan lapangan terbang dengan begitu mudah sekali. Adakah ini disebabkan oleh kekurangan pengawasan, kegagalan teknikal atau kecuaian? Bagaimanakah keseluruhan beg pakaian yang mengandungi haiwan hidup ini dapat mengelak daripada dikesan?

Pada Jun 2024, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyumbangkan dua ekor anjing pengesan Belgian Malinois kepada PERHILITAN untuk membantu penguatkuasaan di KLIA. Bagaimanapun, lapangan terbang itu masih kekurangan teknologi pengesanan bio termaju seperti penderia degupan jantung atau karbon dioksida (CO₂). Walaupun MAHB telah berjanji untuk menaik taraf pengawasan, belum ada garis masa atau pelan tindakan yang jelas.

Memandangkan implikasi besar pemerdagangan hidupan liar, CAP menggesa MAHB untuk melabur segera dalam alat pengesanan moden. Rangka kerja undang-undang Malaysia, termasuk Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, memperuntukkan hukuman yang berat, dan sebagai penandatangan CITES, negara mestilah mematuhi piawaian global.

Pengangkutan udara kekal sebagai mod pilihan penyeludup kerana kepantasan, risiko rendah dan keuntungan yang tinggi. Faktor seperti saiz lapangan terbang, prosedur kastam dan kualiti penguatkuasaan mempengaruhi pilihan sebagai hab transit penyeludup. KLIA, dengan kelemahan semasa, kekal sebagai sasaran utama.

Walaupun lapangan terbang India juga menghadapi cabaran, penguatkuasaan mereka telah mendapat manfaat daripada profil kastam yang lebih tepat, pemeriksaan manual dan pendekatan yang diterajui oleh risikan. India baru-baru ini telah meningkatkan tindak balasnya melalui program latihan yang diketuai oleh TRAFFIC, WWF-India, dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCCB), memfokuskan pada pengesanan, prosedur undang-undang dan kemahiran forensik.

Pendidikan awam adalah sama kritikal. Kesedaran yang lebih tinggi mengenai akibat daripada pemerdagangan hidupan liar terhadap kepelbagaian biologi, kesihatan awam dan keselamatan negara boleh membantu mengurangkan permintaan bagi haiwan peliharaan eksotik.

CAP mengalu-alukan kenyataan oleh Menteri Nik Nazmi dan Anthony Loke baru-baru ini, yang telah berikrar untuk penguatkuasaan yang lebih tegas dan mengkritik MAHB kerana tidak bertindak. Kami menggesa langkah pantas dan tegas untuk merapatkan jurang penguatkuasaan.

Akhir sekali, CAP menggesa hukuman yang lebih berat bagi pemilik haiwan peliharaan eksotik untuk mengekang permintaan dan menghalang daripada melakukan kesalahan pada masa depan. Tanpa tindakan tegas dan berterusan terhadap penyeludup, pendukung dan pengguna, jenayah transnasional ini akan berterusan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 8 April 2025