PERBINCANGAN DENGAN ETNIK ROHINGYA PERLU DIADAKAN

 

CAP mencadangkan suatu diskusi dengan ketua komuniti etnik Rohingya diadakan di Gertak Sanggul untuk mengaturkan perhubungan yang lebih baik antara mereka dengan masyarakat tempatan.

Oleh kerana ada aduan yang dinyatakan oleh seorang penduduk , maka adalah wajar pihak berkuasa mengambil langkah untuk menyiasat dan mencari jalan terbaik mengatasi isu yang dibangkitkan.

Mengikut pengadu , mereka telah berada di kawasan tersebut lebih 10 tahun.

Lantaran itu sepatutnya sosialisasi yang baik dapat diujudkan dan budaya yang  sihat antara penduduk dapat terjalin.

Difahamkan  kebanyakan mereka dipercayai bekerja sebagai nelayan. Sudah pasti ini adalah pilihan yang mereka ada untuk mencari nafkah hidup.

Suatu penyelesaian perlu dicari agar mereka juga boleh menjalani hidup bersama  masyarakat tempatan.

Mengikut pengadu , kehadiran mereka mencecah 800 orang di sekitar kawasan berkenaan. Pihak berkuasa harus mengadakan bancian yang tepat.

Komuniti mereka yang semakin besar memerlukan pengaturan yang baik bagi mengelak sebarang perselisihan dengan penduduk setempat.

Aduan mengenai adanya pelanggaran batas agama perlu disiasat. Namun sudah sampai masanya pihak agensi agama mengambil berat kehidupan mereka kerana mereka juga adalah beragama Islam . Urusan yang berkaitan agama perlu diberi perhatian agar kehidupan mereka lebih teratur dan terkawal.

Dalam keadaan keterbatasan hidup, realiti mereka tinggal berhimpit adalah kerana kemiskinan. Oleh itu nasihat dan alternatif perlu diberi supaya tidak berlaku hal yang tidak sepatutnya.

Kami turut prihatin mengenai aduan yang mengatakan anak kecil dibiarkan berkeliaran termasuk pada waktu malam. Kami berpendapat ini adalah akibat anak-anak mereka tidak mendapat peluang pendidikan dan bimbingan yang sempurna.

Masyarakat tempatan wajar mendekati mereka dengan terbuka untuk melibatkan mereka dengan aktiviti sosial secara bersama. Pergaulan dengan mereka perlu datang dari masyarakat tempatan agar mereka tidak merasa kehadhiran mereka tidak diterima.

Pendekatan terbaik ialah dengan berinteraksi dengan mereka dan membantu agar mereka tidak terlibat dengan perkara tidak sihat.

Kami menganjurkan agar kerja kemasyarakatan dari semasa ke semasa diatur agar mereka turut menjaga kebersihan pantai.

Kami bersetuju agar mereka tidak dihalang mencari rezeki. Oleh kerana itu pihak berkuasa harus mengendali soal keizinan mereka  mencari nafkah dikawasan berkenaan dengan syarat yang munasabah.

 

Kenyataan Media, 5  Julai 2021