Dalam satu surat terbuka (pautan di sini) kepada Perdana Menteri Malaysia bertarikh 13 April, 57 pertubuhan yang mewakili pelbagai kumpulan di kalangan masyarakat Malaysia telah menyampaikan satu mesej yang sangat tegas, membantah perjanjian oleh Lynas Rare Earths Ltd untuk membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat [Perjanjian DoW].
Mereka menyatakan bahawa, “perjanjian ini, yang bernilai kira-kira USD 96 juta bagi tempoh empat tahun, secara langsung akan mengheret operasi pemprosesan yang dijalankan di bumi Malaysia ke dalam rantaian bekalan ketenteraan asing” dan “Ia akan membabitkan Malaysia dengan aktiviti ketenteraan sebuah negara, yang ketika surat ini ditulis, sedang terlibat dalam sebuah konflik bersenjata dan operasi ketenteraan yang didakwa oleh pelbagai pihak, sebagai sebuah pelanggaran berat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa (international humanitarian law – IHL) dan pencabulan serius undang-undang hak asasi manusia antarabangsa (international human rights law – IHRL)”.
Surat tersebut menyatakan kebimbangan berikut:
“Keamanan dan Dasar Berkecuali (Non-Alignment). Dasar luar Malaysia berteraskan prinsip berkecuali (non-alignment). Perjanjian DoW ini akan menjadikan Malaysia satu titik dalam rantaian bekalan ketenteraan sebuah negara yang kini sedang melancarkan peperangan dan operasi ketenteraan di pelbagai wilayah. Hal ini pada asasnya langsung tidak selaras dengan komitmen jangka panjang Malaysia terhadap keamanan serta penentangannya yang konsisten terhadap penggunaan kekerasan dalam perhubungan antarabangsa. Dengan membenarkan tindakan yang sedemikian rupa diteruskan, risikonya adalah kredibiliti Malaysia sebagai suara bebas dalam pelbagai forum antarabangsa akan terhakis. Ini juga akan menggugat pendirian berprinsip negara kita tentang konflik di Palestin, Iran dan di lain-lain wilayah.
Kedaulatan Negara. Membenarkan operasi di wilayah Malaysia untuk berkhidmat, secara langsung atau tidak langsung, kepada usaha peperangan sebuah kuasa asing akan menjejaskan kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia. Memproses mineral strategik di Gebeng untuk diserahkan kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat dengan sewenang-wenangnya akan meletakkan infrastruktur perindustrian Malaysia di bawah kehendak ketenteraan negara lain. Ini menimbulkan persoalan serius tentang sejauh mana rangka kerja kawal selia dan pelesenan Malaysia telah dijadikan alat untuk memenuhi objektif strategik negara asing tanpa penelitian yang memadai atau penanggungjawaban awam.
Tanggungjawab Alam Sekitar. Kemudahan Lynas di Gebeng telah menghadapi tentangan awam yang berterusan berhubung pengurusan sisa radioaktif dan risiko alam sekitar yang berkaitan. Hakikat bahawa operasi ini kini akan dikaitkan dengan rantaian bekalan ketenteraan memburukkan lagi beban yang ditanggung oleh komuniti di sekitar kemudahan tersebut dan oleh Malaysia secara keseluruhannya.”
Surat tersebut juga turut menunjukkan risiko keterlibatan kerajaan dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa. Ia menyatakan bahawa Perjanjian DoW tidak wujud dalam keadaan terasing. Ia mesti dinilai dengan mengambil kira latar belakang tindakan ketenteraan Amerika Syarikat pada masa kini dan yang terbaharu, yang telah menerima kecaman meluas serta dakwaan boleh dipercayai mengenai pelanggaran undang-undang antarabangsa di pelbagai medan termasuk di Gaza dan Wilayah Palestin yang Diduduki, Venezuela dan Iran.
Surat tersebut mengakui bahawa Perdana Menteri Malaysia secara terbuka dan tegas telah mengecam serangan-serangan ini, dengan menyatakan bahawa serangan tersebut adalah “bertentangan dengan prinsip sejagat.”
“Dalam konteks ini, pembekalan oksida nadir bumi yang diproses di fasiliti Gebeng kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat mendedahkan kita kepada sebuah risiko yang nyata dan boleh dijangka, yakni Lynas, sebagai sebuah syarikat yang beroperasi di bawah bidang kuasa dan kawal selia Malaysia, bersubahat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa. Oksida nadir bumi merupakan mineral kritikal bagi magnet kekal yang digunakan dalam peluru berpandu berpandukan ketepatan, sistem senjata canggih, kenderaan tentera, dan elektronik pertahanan. Oleh itu, bahan-bahan yang diproses di Malaysia ini boleh tergabung ke dalam sistem senjata yang digunakan di dalam operasi yang melakukan pelanggaran berat IHL dan pencabulan serius IHRL, atau telah dengan wajar didakwa berbuat demikian,” menurut surat tersebut.
Surat tersebut menekankan komitmen Malaysia dan pematuhan kepada obligasi di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Perkara-Perkara mengenai Tanggungjawab Negara terhadap Tindakan-Tindakan Salah di sisi Antarabangsa (Articles on Responsibility of States for Internationally Wrongful Acts – ARSIWA), yang diterimapakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2001.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, surat tersebut menekankan bahawa Malaysia perlu memastikan semua aktor yang beroperasi di bawah bidang kuasa masing-masing, saling menghormati, melindungi dan memenuhi undang-undang antarabangsa, termasuk IHL dan IHRL. Selaras dengan Perkara 16 ARSIWA, Malaysia tidak boleh dengan sengaja membantu atau menyokong negara lain dalam melakukan pelanggaran berat IHL atau pencabulan serius IHRL, yang mana ia akan menyalahi undang-undang jika dilakukan oleh Malaysia sendiri, termasuklah jenayah perang, jenayah kemanusiaan atau genosida
“Apabila operasi komersial sebegini dijalankan di bumi Malaysia, melalui rangka kerja kawal selia dan pelesenan, kerajaan tidak boleh bersikap acuh tidak acuh terhadap tujuan penggunaan wilayah dan infrastruktur institusinya. Dengan membenarkan Lynas melaksanakan Perjanjian DoW tanpa soal selidik, berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan di atas, paling tidak, ia merupakan satu kecuaian oleh kerajaan Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, dan yang paling buruk sekali, ia adalah tindakan kita membutakan mata kita dengan sengaja tentang risiko bersubahat dalam perbuatan yang salah di peringkat antarabangsa.”
“Memandangkan kewujudan Perjanjian DoW dan risiko bahawa bahan-bahan yang diproses di kemudahan Lynas di Gebeng mungkin digunakan dalam sistem senjata yang dikerahkan oleh operasi ketenteraan yang sedang atau mungkin menjadi bahan dakwaan yang wajar berkenaan genosida, jenayah kemanusiaan atau pelanggaran berat undang-undang antarabangsa yang lain, kami menyeru kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah-langkah berikut bagi melaksanakan tanggungjawabnya dan mengelakkan persubahatan melalui bantuan atau sokongan, di bawah Perkara 16 ARSIWA:
1. Memastikan Lynas tidak melanggar undang-undang antarabangsa. Malaysia harus mewajibkan Lynas untuk membuktikan bahawa operasi, kontrak, dan rantaian bekalannya tidak dan tidak akan menyumbang kepada atau memudahkan perbuatan yang salah di sisi undang-undang antarabangsa, termasuk pelanggaran berat IHL, pencabulan serius IHRL, genosida, jenayah perang atau jenayah kemanusiaan. Ini termasuk menuntut ketelusan penuh mengenai terma, skop, dan tujuan penggunaan akhir Perjanjian DoW, serta mewajibkan jaminan yang mengikat bahawa bahan-bahan yang ditapis di Malaysia tidak akan digunakan dalam sistem senjata yang dikerahkan dalam sebarang operasi di mana pelanggaran IHL dan IHRL berlaku. Syarat-syarat sedemikian harus dimasukkan sebagai prasyarat dalam lesen yang dikeluarkan kepada Lynas.
2. Mengaudit Lynas. Malaysia harus mengenakan audit pemeriksaan tuntas (due-diligence) hak asasi manusia dan IHL yang teguh dan bebas ke atas Lynas, dengan tumpuan kepada risiko penggunaan akhir dan pengguna akhir, dengan perhatian khusus diberikan terhadap potensi penglibatan dalam konflik di mana terdapat dakwaan yang wajar tentang pencabulan serius IHL dan IHRL. Apabila risiko sumbangan kepada pelanggaran sedemikian dikenal pasti, Malaysia mesti mengenakan syarat, langkah pembetulan atau jika perlu, menggantung atau membatalkan kelulusan dan lesen yang berkaitan, untuk mencegah sebarang bantuan atau sokongan yang disengajakan kepada perbuatan yang salah di sisi undang-undang antarabangsa dalam pengertian Perkara 16 ARSIWA.
3. Menggubal dan menguatkuasakan perundangan domestik. Malaysia harus menerima pakai dan menguatkuasakan undang-undang domestik serta syarat-syarat kawal selia yang jelas untuk memastikan syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia tidak bersubahat dalam salah laku jenayah antarabangsa atau terkait dengan konflik IHRL atau IHL. Undang-undang sedemikian harus menyatakan secara jelas bahawa kelulusan kawal selia dan lesen operasi adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap tanggungjawab Malaysia di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk kewajipannya untuk tidak membantu atau menyokong sebarang perbuatan yang salah di peringkat antarabangsa yang dilakukan oleh negara pihak ketiga, dan harus mewajibkan pemeriksaan tuntas yang diperkukuhkan berkenaan hak asasi manusia untuk rantaian bekalan yang berkaitan dengan ketenteraan atau terdedah kepada konflik.”
Surat tersebut telah dihantar kepada Perdana Menteri Malaysia oleh Ms Chee Yoke Ling, Pengarah Eksekutif Third World Network bagi dan bagi pihak organisasi-organisasi yang bertandatangan di bawah:


