Sahabat Alam Malaysia (SAM) merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Jun 2026 berhubung Projek Tambak Laut Pulau Pinang Selatan (Penang South Reclamation – PSR) serta maklumbalas kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap laporan media berkenaan. Berikut ialah terjemahan petikan daripada penghakiman Mahkamah Rayuan, perenggan 49, ms. 58.
“…kami menolak Rayuan ini dan mengekalkan Keputusan Mahkamah Tinggi atas salah satu atau kedua-dua alasan berikut:
(1) Responden Pertama dan/atau Kedua[1] tidak mempunyai kuasa untuk memberikan KM[2] (Penambakan); dan/atau
(2) JRA[3] telah difailkan melebihi Tempoh Masa Tiga Bulan [Aturan 53 k. 3(6) RC] dan tiada “sebab yang munasabah” bagi Mahkamah memberikan lanjutan masa (EOT)[4] menurut Aturan 53 k. 3(7) RC[5].”
Kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang gambaran yang salah mengenai keputusan yang dilaporkan pada 30 Jun 2026, dan kami amat kesal dengan tanggapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mendakwa sebaliknya.
Untuk rekod, pada 29 Disember 2023, tujuh orang nelayan yang diketuai oleh Zakaria Ismail, bersama-sama SAM dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Kes tersebut mencabar kebenaran merancang yang diberikan pada 21 Ogos 2023 bagi projek PSR oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang, susulan kelulusan daripada Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang.
Kes tersebut menimbulkan kebimbangan serius bahawa projek itu dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mematuhi prosedur perancangan berkanun di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD 1976). Antara perkara yang dibangkitkan ialah kegagalan Jawatankuasa Perancang Negeri untuk berunding dengan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sebelum kebenaran merancang diberikan oleh Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang.
Pada 11 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak kes tersebut, terutamanya atas alasan bahawa permohonan semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan, dan kebenaran merancang bagi projek penambakan itu didapati telah dikeluarkan dengan sewajarnya selaras dengan APBD 1976.
Kami mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung perkara ini. Pada 30 Jun 2026, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut namun mengemukakan alasan yang jauh berbeza daripada alasan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan menyatakan dengan jelas bahawa pihak berkuasa perancangan negeri, khususnya Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri serta Jawatankuasa Perancang Negeri, tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran merancang bagi kerja-kerja penambakan tersebut. Hal ini demikian kerana, menurut Mahkamah Rayuan, dasar laut dan perairan wilayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sehinggalah kerja-kerja penambakan itu siap sepenuhnya.
Perkara ini jelas bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kelulusan yang diberikan adalah sah, namun Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan kebenaran merancang itu tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Satu-satunya perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua mahkamah ialah kes tersebut nampaknya difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan.
Justeru, maklumbalas kepada media oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah mengelirukan dan merupakan satu percubaan untuk mengelirukan orang ramai mengenai keputusan sebenar.
Mahkamah Rayuan tidak menyatakan bahawa kebenaran merancang tidak diperlukan bagi projek PSR sebagaimana yang didakwa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Mahkamah Rayuan juga tidak merujuk kepada kelulusan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang atau MPFN dalam memutuskan persoalan mengenai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran merancang bagi kerja-kerja penambakan yang dijalankan di perairan persekutuan.
Oleh itu, memandangkan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang dan Jawatankuasa Perancang Negeri tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kelulusan perancangan, sebenarnya tiada kebenaran merancang yang sah bagi projek PSR.
Justeru, projek tersebut tidak seharusnya diteruskan, dan kami menggesa Kerajaan Persekutuan supaya campur tangan dengan segera bagi menyelesaikan perkara ini serta memastikan undang-undang dan prosedur dipatuhi.
Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia
Surat Kepada Pengarang, 2 Julai 2026
[1] Responden Pertama dan/atau Kedua ialah Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PlanMalaysia) dan Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang.
[2] Kebenaran Merancang
[3] Judicial Review Application – Permohonan Semakan Kehakiman
[4] Extension of Time – Lanjutan Masa
[5] Rules of Court – Kaedah Mahkamah


