Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), pihak berkuasa berkenaan dan Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd selaku pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung segera menangani dan mencari jawapan di atas kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah di sini sehingga mengakibatkan berlakunya kepulan asap tebal di udara.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 5.00 petang pada Rabu 11hb Januari 2022 itu telah menyebabkan sebahagian besar kawasan tapak pelupusan sampah terbakar dengan anggaran keluasan yang terbakar kira-kira 4.05 hektar, yang dilaporkan oleh media.
Beberapa portal akhbar tempatan melaporkan bahawa pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal dan dibantu oleh BBP Sungai Bakap dan Bayan Baru telah bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
Bagaimanapun, kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya malah sehingga kini anggota-anggota bomba berusaha melakukan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan api.
SAM amat menghargai tugas dan tanggungjawab yang dilakukan oleh pasukan bomba yang bertungkus lumus memadam kebakaran dari terus merebak. Lanjutan dengan ini pihak-pihak lain yang berkenaan khususnya syarikat yang menguruskan tapak pelupusan sampah perlu menyiasat dan mendedahkan punca berlakunya kebakaran ini kepada orang ramai.
Ini berikutan kepulan asap yang busuk disebabkan oleh sisa-sisa pepejal yang terbakar memenuhi ruang udara seakan jerebu telah merebak ke kawasan penempatan orang ramai. Antara penempatan yang terancam dengan pencemaran udara tersebut adalah Kampung Baru Byram, Kampung Changkat, Kampung Bagan Buaya, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan, Kampung Jawi serta Taman Perumahan Desa Jawi.
Selain itu, juga tidak dapat pastikan apa yang terkandung di dalam longgokan sampah terbabit yang menyebabkan kebakaran tidak terkawal dan kemungkinan besar melepaskan gas toksik.
SAM berasa bimbang dengan perkara ini kerana secara tidak langsung ia boleh menjejaskan kesihatan orang awam terutamanya yang mengalami masalah kesihatan, warga emas yang uzur serta kanak-kanak.
Justeru, SAM berharap agar perkara ini ditangani dengan sebaik mungkin dan pihak pengurusan tapak pelupusan mengambil iktibar di atas perkara yang sudah dua kali berlaku. Sekali lagi kami menyeru kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya mendedahkan punca berlakunya kebakaran ini kerana orang awam perlu tahu dan berhak untuk tahu perkara yang sebenar.
Kenyataan Media, 14 Januari 2022