Perubahan kecil membawa kesan besar dalam jangka masa panjang, menurut Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist, Pulau Pinang iaitu salah sebuah sekolah yang CAP telah membimbing dalam penggunaan tenaga dan pemuliharaan yang cekap.
Langkah mudah seperti mematikan lampu dan kipas, mengurangkan penggunaan penyaman udara, menanam pokok, menanam tanaman dalaman dan melantik Pengawas Tenaga bilik darjah untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan tertentu, telah membawa perubahan positif kepada sekolah.
Tahniah kepada guru dan pelajar sekolah atas usaha teladan mereka yang membolehkan amalan gaya hidup mampan di institusi pembelajaran kita.
Marilah kita dengar daripada pahlawan eko ini.
“Pokok adalah penyejuk semula jadi di sekolah kami” – GURU Nur Nadia Zafirah binti Mohd Zamri
Apabila CAP memperkenalkan aktiviti penjimatan tenaga kepada pihak sekolah saya menerimanya dengan sepenuh hati. Saya mengetuai Kelab Alam Sekitar di SMK (P) Methodist, Pulau Pinang. Sekolah juga mengambil bahagian dalam pertandingan sekolah mesra alam dan penjimatan tenaga.
Bagi memastikan inisiatif penjimatan tenaga berjalan dengan lancar, pihak sekolah menugaskan dua orang Pengawas Tenaga untuk setiap bilik darjah. Setiap daripada mereka diberikan lencana untuk memberi mereka kuasa dalam menasihati dan membimbing pelajar lain supaya menutup lampu, kipas, penyaman udara dan peralatan elektrik lain apabila tidak digunakan.
Majoriti pelajar SMK (P) Methodist, Pulau Pinang, datang ke sekolah pada sekitar jam 6.30 pagi hingga 7.30 pagi. Dalam tempoh itu, mereka hanya dibenarkan untuk menghidupkan satu lampu dan kipas. Lampu dan kipas tambahan akan dihidupkan apabila semua pelajar hadir. Lampu di dalam bilik darjah akan ditutup antara jam 9.00 hingga 9.30 pagi, bergantung kepada keadaan cuaca. Sesetengah bilik darjah yang diteduhi oleh pokok, di mana ia tidak boleh menggunakan peraturan ini.
Sekolah juga melaksanakan penggunaan TV. Sebelum ini, para pelajar perlu pergi ke makmal komputer untuk menggunakan satu komputer bagi setiap pelajar. Selepas pengenalan kepada TV ini, dengan hanya sekali suis ditekan, semua pelajar dapat belajar bersama, bermaksud terdapat pengurangan ketara dalam penggunaan elektrik.
Kami turut meletakkan label peringatan berhampiran suis di setiap lampu dan peralatan elektrik. Pengenalan kepada tanaman dalaman adalah langkah yang sangat baik dalam erti kata lain dapat membantu mengurangkan haba dan seterusnya mengurangkan penggunaan tenaga. Ramai yang tidak menyedari peralatan elektrik mengeluarkan haba semasa beroperasi. Jadi, secara peribadi, apabila saya menghidupkan kipas, saya tidak menetapkannya pada kelajuan maksimum. Sebagai seorang guru, saya melakukan ujikaji dan berkongsi maklumat dengan pelajar. Dengan cara itu, kami dapat belajar bersama dalam usaha untuk mengurangkan tenaga elektrik.
Kain rentang yang kami gantung di pintu masuk sekolah mempamerkan bil yang ditanggung setiap bulan untuk terus memberi panduan kepada pelajar mengenai berapa banyak yang dibelanja untuk elektrik. Setiap perhimpunan akan memberi peringatan kepada pelajar untuk menjimatkan tenaga elektrik. Kami juga memastikan usaha kami tidak terhad kepada sekolah sahaja. Pelajar perlu membawa nilai penjimatan tenaga ke mana sahaja mereka pergi. Pada mulanya, pelajar akan patuh apabila kami mengarahkan mereka berbuat sedemikian. Kemudian, apabila nilai-nilai ini telah tersemat dalam diri, mereka akan melaksanakannya ke mana-mana sahaja mereka pergi.
Kami di SMK (P) Methodist bertuah kerana dari generasi ke generasi kami mempunyai guru besar yang bersifat pencinta alam. Seperti yang anda boleh lihat, sekolah ini kaya dengan banyak pokok merimbun yang sentiasa memberi teduhan dan membekalkan oksigen ke kawasan sekitar sekolah. Pemberian alam semula jadi yang sedemikian itu, selain menjadi persekitaran yang sesuai untuk sesi pembelajaran, juga mengekalkan persekitaran yang sejuk dan mengurangkan keperluan kipas dan penyaman udara.
Guru besar kami menetapkan peraturan bahawa jika bil elektrik lebih daripada yang ditetapkan oleh sekolah, bakinya akan ditanggung oleh para guru. Justeru, sewajarnya semua guru memberikan kerjasama untuk mengurangkan bil elektrik. Ada banyak cabaran yang kami hadapi. Beberapa hari, seawal 8 pagi, kami sudah merasakan bahang panas. Kami belajar untuk menangani perubahan cuaca ini bersama-sama.
Dalam proses pembelajaran dan pelaksanaan pengurangan tenaga di sekolah kami, saya membuat beberapa perubahan dalam gaya hidup saya juga. Saya mempunyai tabiat menggunakan penyaman udara dan kipas secara serentak. Namun, kini saya hanya menggunakan satu peralatan pada satu masa. Apabila kami menggunakan penyaman udara dan kipas secara serentak, ia menghalang udara sejuk daripada sampai kepada kami. Saya juga telah membuang tabiat kerap membuka pintu peti sejuk dan mula menyeterika pakaian bagi sepanjang minggu. Saya percaya bahawa perubahan kecil ini akan membawa kesan yang lebih besar dalam jangka masa panjang.
“Saya bawa Nilai Penjimatan Tenaga ke Mana Sahaja Saya Pergi” – PELAJAR Tingkatan 5 Nur Syazwani binti Saad
Sebagai seorang Pengawas Tenaga, saya gembira kerana semua pelajar memberi kerjasama yang baik untuk mencapai matlamat dalam mengurangkan penggunaan elektrik. Kami mempunyai seramai 40 orang Pengawas Tenaga di sekolah. Pengawas Tenaga ini membahagikan tugas mereka dan berfungsi pada waktu yang berbeza. Dari pukul 6.30 pagi hingga 7.00 pagi, setiap bilik darjah hanya dibenarkan untuk membuka suis bagi satu lampu dan satu kipas sahaja. Kami mempunyai Pengawas Tenaga untuk memeriksa perkara ini.
Begitu juga, terdapat sekumpulan Pengawas Tenaga bertugas memastikan semua lampu, dan peralatan elektrik ditutup semasa waktu rehat. Manakala kumpulan Pengawas Tenaga yang lain akan bertanggungjawab selepas tamat waktu persekolahan. Guru-guru berterusan memantau cara kami menjalankan tugas, dan mereka yang mempamerkan dedikasi dan prestasi yang cemerlang akan diberi ganjaran. Hal ini akan meningkatkan semangat pelajar untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik.
Mengehadkan Penggunaan Lampu Hiasan. Saya berkongsi apa sahaja yang saya pelajari di sekolah dengan keluarga dan cuba mengamalkannya walau berada di mana-mana sahaja. Di rumah, kami menunggu sehingga mesin basuh penuh untuk mencuci pakaian. Kami menggunakan penyaman udara untuk satu jam yang pertama pada waktu malam bagi menyejukkan bilik dan kemudian menggantikannya dengan kipas. Sebelum mempunyai pengetahuan mengenai penjimatan elektrik, kami kebiasaannya menyalakan lampu hiasan di pintu masuk rumah. Pada masa ini, kami membiarkan lampu hiasan menyala selama sepuluh minit berbanding mematikan sepenuhnya.
Kadangkala, apabila saya pergi ke kedai dobi, saya dapati tiada sesiapa di sana, namun lampu dan kipas dihidupkan. Saya pasti akan mematikannya sebelum meninggalkan kedai dobi itu. Amalan penjimatan tenaga saya tidak terhad kepada sekolah dan rumah. Ke mana-mana sahaja saya pergi, saya akan membawa nilai penjimatan tenaga.
“Peti sejuk beku hanya untuk musim perayaan” – PELAJAR Tingkatan 5 Nur Jannahtul Amirah binti Saad
Seluruh sekolah tertakluk kepada peraturan penjimatan tenaga. Selain pelajar, para guru kami juga menunjukkan komitmen mereka untuk mengurangkan penggunaan elektrik. Penyaman udara di bilik guru dihidupkan hanya selepas jam 12.00 tengahari. Peraturan ini dilonggarkan untuk hari yang panas terik, dan guru boleh menghidupkan penyaman udara lebih awal daripada biasa.
Hasil gabungan tenaga pengajar dan pelajar, sekolah kami berjaya mengurangkan bil elektrik. Kami berbangga dengan pencapaian kami. Saya juga mengamalkan apa yang saya pelajari di sekolah semasa di rumah. Di rumah, kami mempunyai peti sejuk beku yang berasingan dan saya belajar bahawa ia menggunakan banyak tenaga elektrik. Oleh sebab itu, kami memutuskan untuk menggunakan peti sejuk beku hanya semasa musim perayaan.