Pada 12 November lalu, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) menerbitkan notis penarikan balik daripada pembekal Educational Colors berhubung produk pasir mainan yang didapati mengandungi asbestos tremolite, asbestos yang wujud secara semula jadi.
Produk itu digunakan oleh kanak-kanak bagi aktiviti seni dan kraf atau permainan deria. “Produk itu boleh menyebabkan risiko kepada kesihatan,” ACCC memberi amaran, serta menasihatkan orang ramai supaya “berhenti menggunakan produk itu dengan serta-merta”.
“Walaupun terdapat tanda-tanda awal bahawa risiko pendedahan adalah rendah, adalah penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan semua pendedahan yang berpotensi,” jelasnya.
Kementerian Perniagaan, Inovasi dan Pekerjaan (MBIE) New Zealand juga mengumumkan bahawa penarikan semula sedang dijalankan terhadap beberapa produk pasir mainan yang dijual secara tempatan kerana potensi pencemaran asbestos.
Di Filipina, kumpulan pemerhati toksik Ecowaste Coalition menggesa pihak berkuasa untuk menguji produk pasir mainan yang dijual. Pendedahan kepada asbestos, bahan kimia berbahaya, boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang yang serius, kumpulan itu memberi amaran.
“Demi kepentingan keselamatan kanak-kanak, kami menggesa FDA untuk menjalankan analisis segera produk pasir mainan yang dijual di kedai mainan dan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa produk itu tidak menimbulkan potensi pendedahan kepada asbestos,” kata Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan, EcoWaste Coalition.
“Sementara menunggu pelaksanaan analisis asbestos, kami merayu kepada kedai mainan, termasuk yang dalam talian, untuk menghentikan sementara penjualan pasir mainan kanak-kanak sehingga suatu masa pengilang, pengimport atau pengedar mereka telah menyediakan sijil analisis yang boleh disahkan yang mengesahkan produk mereka bebas daripada sebarang asbestos,” katanya.



