Pusat data menelan sumber tenaga dan air yang besar

Gambar melalui The Edge Malaysia

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kekhuatiran terhadap pembangunan pesat pusat data di negara ini khususnya di Johor yang merupakan pasaran pusat data terbesar di Malaysia.

Pertumbuhan pesat dan kebergantungan yang kian meningkat masyarakat am terhadap teknologi komunikasi melalui jajaran internet dan perkhidmatan yang disediakannya seperti aplikasi media sosial, pengkomputeran awan, e-dagang serta ledakan industri kecerdasan buatan (AI) baru-baru ini telah mendorong permintaan untuk pusat data.

Gabungan faktor-faktor ideal seperti lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara, infrastruktur komprehensif, tarif elektrik dan air yang murah, ketersediaan tanah dengan harga mampu milik, subsidi serta insentif cukai dari kerajaan serta moratorium pusat data di Singapura baru-baru ini menyaksikan syarikat berlumba untuk membina pusat data di Malaysia dengan menanam janji manis pelaburan berbilion ringgit ke dalam negara di samping mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi bagi penduduk tempatan.

Syarikat-syarikat dan pelabur-pelabur ini akan sentiasa menceritakan manfaat pusat-pusat data mampu berikan kepada ekonomi negara, namun, pihak kerajaan seharusnya cakna akan permasalahan alam sekitar yang boleh timbul akibat pusat-pusat data ini serta memastikan janji manis peningkatan taraf ekonomi yang didakwa benar-benar dicapai dan memberi manfaat kepada negara.

Pusat-pusat data memakan jumlah tenaga yang besar untuk menggerakkan serta menyejukkan sistem-sistem operasi, jika tidak dikawal, kadar penggunaan kuasa yang tinggi ini boleh membebankan grid kuasa tempatan.

Pertumbuhan pesat pusat data di Ireland telah menyaksikan pusat-pusat data tersebut mendatangkan impak yang negatif kepada keterjaminan tenaga di negara itu. Pusat-pusat data menggunakan hampir satu per lima daripada jumlah penghasilan tenaga negara tersebut lantas membebankan grid kuasa nasional yang telah memperlihatkan sebanyak 8 amaran bekalan elektrik pada tahun 2022, berbanding hanya 13 amaran dari tahun 2010 hingga 2019, iaitu tempoh sebelum pembinaan pusat-pusat data secara besar-besaran di negara tersebut.[1]

Di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan bahawa permintaan elektrik daripada pusat data berpotensi mencecah lebih 5,000MW menjelang 2035 dan syarikat tersebut telahpun menerima permohonan untuk pusat-pusat data baharu berjumlah melebihi 11,000MW, yang dianggarkan melebihi 40 peratus daripada kapasiti penjanaan kuasa sedia ada di Semenanjung Malaysia iaitu sekitar 27,000MW.[2] Jika kemampanan dan keterjaminan tenaga tidak dititikberatkan, permintaan elektrik daripada pusat-pusat data ini boleh mengatasi bekalan, mengakibatkan permasalahan tenaga yang kritikal di negara ini. Lebih-lebih lagi, memandangkan bekalan tenaga negara kebanyakannya dijana oleh bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui dianggarkan untuk hanya menjana 22% daripada jumlah keperluan tenaga negara menjelang 2050[3], pusat-pusat data ini boleh menjadi sumber pelepasan karbon yang besar bagi negara.

Selain itu, pusat data juga memerlukan sumber air yang banyak yang boleh membebankan bekalan air tempatan. Dianggarkan bahawa pusat data berkapasiti 100 MW menelan kira-kira 4.16 juta liter air setiap hari, bersamaan dengan penggunaan air harian bagi sebuah bandar yang dihuni 10,000 penduduk.

Di Chile, selepas demonstrasi jalanan dan tindakan undang-undang dibawa ke mahkamah menentang penubuhan pusat data di negara itu atas asbab kekhuatiran impak pusat-pusat data ini terhadap alam sekitar dan bekalan air, mahkamah telah mendedahkan bahawa keperluan penyejukan pusat data yang dirancang oleh Google di kawasan selatan negara itu akan menggunakan 7.6 juta liter air bersih sehari[5], jumlah yang besar bagi sebuah negara yang merupakan negara ke-16 tercorot dari segi keterjaminan air di dunia.[6]

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memberi amaran bahawa negara berpotensi menghadapi kekurangan bekalan air yang meluas dalam masa lima tahun akibat daripada perubahan iklim, pembaziran, dan infrastruktur yang semakin uzur.[7] Dengan kebimbangan yang sah mengenai kekurangan air yang meluas di negara ini dan permintaan air yang besar dan semakin mendadak daripada pusat-pusat data, ia boleh menjadi titik konflik pada tahun-tahun akan datang jika keperluan air penduduk tempatan dan syarikat teknologi besar tidak diimbangi dengan baik.

Persoalan juga boleh ditimbulkan berkaitan dakwaan bahawa pusat data boleh menjadi pemangkin penciptaan peluang pekerjaan kerana pada hakikatnya, sebahagian besar peluang pekerjaan ini adalah sementara sahaja dan secara besarnya terhad pada fasa pembinaan pusat-pusat data ini[8], tidak hairan mengapa syarikat-syarikat pembinaan merupakan penyokong-penyokong terbesar ledakan pesat pusat data di negara ini.

Menurut laporan sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), pembinaan sebuah ibu pejabat syarikat data akan membuka sebanyak 200 dan 1,000 peluang pekerjaan yang bersifat jangka masa panjang, manakala bagi sebuah pusat data pula purata peluang pekerjaan adalah tidak lebih daripada 30 orang[9] dan Kesatuan Pekerja Elektrik Virginia (VEWU) menyatakan bahawa apabila Microsoft menubuhkan sebuah pusat data yang besar di Virginia, Amerika Syarikat pada 2012, syarikat itu memilih untuk melantik juruteknik dari luar untuk melakukan kebanyakan kerja manakala hanya 25 penduduk tempatan diberi pekerjaan yang terhad kepada pekerjaan bertaraf rendah seperti pembantu tadbir dan petugas pembersihan. Dengan kemajuan AI yang pesat  akhir-akhir ini serta keupayaannya untuk mengautomasikan operasi di pusat data[10], ianya akan mengurangkan kebergantungan kepada buruh yang lantas akan memperkecilkan lagi peluang pekerjaan bagi komuniti setempat. Ini menimbulkan persoalan sama ada pusat-pusat data ini benar-benar memberi manfaat kepada negara, terutamanya dari segi kualiti dan kuantiti pekerjaan.

SAM menyeru agar kerajaan cakna mengenai kesan-kesan negatif yang boleh diakibatkan oleh pusat data terhadap keterjaminan tenaga dan air di negara ini serta pelepasan karbon tinggi yang dihasilkannya. Penilaian yang lebih komprehensif mengenai kos dan manfaat pusat-pusat data mestilah dilaksanakan mengambil kira kesan alam sekitar dan sosial, penilaian ini perlu diumumkan kepada masyarakat am. Kerajaan persekutuan dan negeri Johor perlu mengaplikasikan garis panduan yang ketat bagi pembinaan pusat-pusat data ini bagi memastikan sebarang impak alam sekitar terutamanya dari aspek tenaga dan air diambil kira dengan secukupnya.

Negara wajar mengambil pengajaran daripada moratorium yang telah dilaksanakan oleh Singapura terhadap pusat data bagi menjamin ketersediaan tenaga dan air. Kita tidak boleh dibutakan oleh pelaburan dari pusat-pusat data besar sehingga ianya memakan kembali diri dalam jangka masa panjang.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Surat Kepada Pengarang, 9 Ogos 2024