SAM membantah projek penambakan, mencadangkan penutupan selamat Tapak Pelupusan Sisa Jelutong

Pemandangan dari udara tapak pelupusan Jelutong di Pulau Pinang. Gambar The Star

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan cadangan projek penambakan bersebelahan Tapak Pelupusan Jelutong sedia ada di Pulau Pinang, dan laporan EIA bagi projek yang dicadangkan itu tidak diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar berdasarkan kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan awam. Selain itu, cadangan kerja-kerja penambakan ini akan memberi kesan buruk kepada Middle Bank, yang kaya dengan biodiversiti marin.

Cadangan pemulihan Tapak Pelupusan Jelutong akan meliputi 36.42 hektar (90 ekar) dan penambakan akan meliputi 28.33 hektar (70 ekar) tanah.  Kami bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk memastikan penutupan selamat Tapak Pelupusan Jelutong sedia ada yang telah dikendalikan sebelum ini oleh MBPP. Terdapat beberapa isu utama yang berkaitan dengan tapak pelupusan iaitu air larut resap, pelepasan gas tapak pelupusan, bau busuk, pemendapan tanah, pergerakan jisim dan potensi kebakaran.  Semua ini berpotensi memburukkan kesihatan dan kualiti hidup penduduk berjiran, selain menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Oleh itu pilihan terbaik ialah Tapak Pelupusan Jelutong tersebut ditutup dengan selamat, dan ini sudah lama tertangguh. Penutupan selamat mesti memastikan pencegahan bahaya alam sekitar dan keselamatan awam serta tapak dalam jangka panjang, termasuk penutupan yang betul, pengurusan larut lesap, pemantauan gas, dan pemantauan selepas penutupan.

Tiga pilihan telah dibentangkan dalam laporan EIA. Pilihan pertama – Parkland – ialah penutupan sepenuhnya Tapak Pelupusan Jelutong sedia ada dan memulihkan keseluruhan tapak sebagai kawasan taman. Pilihan kedua – pembangunan semula keseluruhan Tapak Pelupusan Jelutong – dianggap bukan pilihan yang berdaya maju. Pilihan ketiga ialah penutupan Tapak Pelupusan Jelutong dan penyingkiran sisa daripada tapak tersebut.

eputusan muktamad selepas penilaian, seperti yang dinyatakan dalam laporan EIA, adalah untuk menerima pakai pilihan pertama dan ketiga iaitu kawasan taman bersama-sama dengan program pemulihan bahan dan kerja tanah pukal untuk memudahkan pembinaan kawasan pembangunan dalam Tapak Pelupusan Jelutong.  Pilihan ini memerlukan petak tanah tambahan, dengan demikian cadangan penambakan bersebelahan dengan tapak pelupusan tersebut.

Laporan EIA menyatakan tapak projek termasuk kawasan cadangan penambakan terletak di Middle Bank Pulau Pinang.  Dalam bab seterusnya, EIA menyatakan bahawa tapak projek yang dicadangkan mungkin termasuk Middle Bank kerana sempadan sebenar Middle Bank masih belum dipastikan.  Oleh itu, adalah mengejutkan bahawa Ketua Menteri dipetik oleh media bahawa projek yang dicadangkan itu tidak akan menceroboh Middle Bank.

Laporan EIA telah membentangkan potensi kesan penambakan iaitu secara amnya kualiti air di tapak penambakan semasa aktiviti penambakan akan merosot dengan kekeruhan yang lebih tinggi, pengampaian semula bahan tercemar ke dalam ruang air, pengurangan oksigen terlarut, pembebasan nutrien dan bahan tercemar lain daripada sedimen dan penjanaan sisa.

Middle Bank dianggap sebagai kawasan rumput laut yang paling terjejas semasa cadangan kerja-kerja penambakan. Ekosistem Middle Bank yang terdiri daripada kawasan rumput laut, dataran lumpur berfungsi sebagai tapak semaian hidupan marin juvana yang menyokong perikanan, dan sebarang pembangunan di sini atau bersebelahan dengannya akan mengancam ekosistem marin dan dengan itu mata pencarian nelayan. Selain itu, air larian pembinaan dan air larut resapan yang tidak terkandung akan meresapkan toksin ke selat bersebelahan, mencemarkan perairan marin dan membahayakan hidupan akuatik.

Platform kerja pemulihan dan penambakan yang dicadangkan adalah berdekatan dengan kawasan perumahan dan sekolah. Loji kitar semula sisa yang beroperasi di sini akan menghasilkan pencemaran udara dan bunyi yang berterusan. Kerja-kerja penggalian untuk bahan tapak pelupusan akan membebaskan bahan zarahan berbahaya (PM2.5 dan PM10) yang menimbulkan risiko kesihatan yang ketara, termasuk masalah pernafasan dan kardiovaskular, dan boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada seperti asma dan penyakit jantung. Kesan kesihatan jangka panjang yang berpotensi ke atas kanak-kanak dan komuniti terdedah tidak dinilai dengan secukupnya dalam laporan EIA.

Walaupun laporan EIA tersebut mengenal pasti langkah-langkah mitigasi, tetapi masih akan ada pencemaran yang akan memberi kesan buruk kepada penduduk di sini dan menyebabkan kerosakan kepada ekosistem marin. SAM menyokong gesaan Jawatankuasa Bertindak Melindungi Karpal Singh Drive agar kerajaan negeri menolak cadangan penambakan tanah ini dalam usahanya untuk “memulih” Tapak Pelupusan Jelutong lama, kerana ia tidak diperlukan, dan di mana laporan EIA mengesahkan bahawa tapak pelupusan itu boleh dipulihkan tanpa memerlukan penambahan tanah.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia

Siaran Media, 29 Mac 2025