PULAU PINANG: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong cadangan pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) supaya operasi penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dihentikan untuk sementara waktu.
Ini adalah cara terbaik bagi menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar yang tiada kesudahan ini, yang telah menjejaskan keselesaan penduduk serta orang ramai di sekitar kawasan terbabit untuk empat dekad.
Pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan yang berkaitan seharusnya menyokong tindakan tegas yang dicadangkan oleh pihak KASA terhadap para penternak sehingga mereka akur untuk melaksanakan sistem sifar pelepasan dan tidak melepaskan najis secara langsung ke dalam sungai.
Isu pencemaran ini tidak boleh dipandang ringan lanjutan daripada kesan negatif yang berpanjangan. Malah kesan buruk bukan sahaja terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan manusia bahkan terhadap kualiti tanah, udara dan air.
Penguatkuasaan tegas perlu diambil oleh semua agensi yang berkenaan bagi melindungi alam sekitar. Sekiranya pencemaran ini tidak dibendung ia akan menjejaskan reputasi negeri Pulau Pinang yang selama ini memperjuangkan slogan “Cleaner, Greener Penang”.
Justeru tindakan dan cadangan oleh KASA sangat bertepatan dengan situasi yang berlaku dan kami menyokong cadangan menghentikan sementara operasi ladang penternakan babi di Kampung Selamat demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Kenyataan Akhbar, 25 Ogos 2020