Sejauh manakah selamatnya telur ayam kita?

Laporan mengenai telur dari ladang Teo Seng Capital Berhad yang digantung oleh pihak berkuasa Singapura baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dinilai sebagai pengguna kelas kedua apabila melibatkan keselamatan makanan. Telur tersebut ditolak kerana didapati tercemar dengan bakteria Salmonella Enteritidis.

Sekali lagi kita mendengar pihak berkuasa mengatakan bahawa telur itu tidak dijual di Malaysia dan ia hanya daripada beberapa ladang yang terjejas.

Amat pelik apabila kejadian ini tidak diketahui oleh pihak berkuasa tempatan kita lebih awal walaupun dianggarkan rakyat Malaysia mengambil 30 juta telur setiap hari. Memandangkan keadaan itu ramai pengguna Malaysia mungkin secara tidak sedar telah mengambil telur yang tercemar. Bakteria Salmonella Enteritidis menyebabkan cirit-birit, sakit perut, demam, loya dan muntah.

Undang-undang utama yang mengawal selia keselamatan makanan di negara ini ialah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Ia bertujuan untuk melindungi orang ramai daripada bahaya dan penipuan berkaitan makanan, untuk menggalakkan penyediaan, pengendalian, pengedaran yang selamat dan penjualan makanan yang sihat serta berkualiti tinggi.

Memandangkan keselamatan makanan perlu dikekalkan daripada pengeluaran kepada penggunaan, banyak kementerian dan agensi terlibat dalam proses ini. Antaranya ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (untuk import dan eksport makanan).

Di sebalik wujudnya undang-undang dan badan penguatkuasa yang diamanahkan untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat makanan yang selamat dan berkhasiat, kita jarang mendengar produk tempatan kita ditarik balik.

Ini bukanlah kali pertama produk Malaysia ditolak di negara luar. Berikut adalah beberapa kejadian yang telah dilaporkan:

Pada 2015, kira-kira 300 kelompok sayur-sayuran yang kebanyakannya sayur-sayuran berdaun hijau dan buah-buahan telah dihentikan daripada dijual di Singapura, selepas sisa racun makhluk perosak yang ditemui pada sampel melebihi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Dikatakan bahawa 3% – 5% sayur-sayuran dan buah-buahan dari Malaysia melebihi had racun makhluk perosak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Singapura.

Pada 2016, udang Malaysia, kebanyakannya dari ladang akuakultur Pulau Pinang, ditolak oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) disebabkan oleh kehadiran antibiotik yang diharamkan (nitrofuran dan chloramphenicol).

Pada 2017, China menolak buah-buahan dari Cameron Highlands disebabkan oleh kehadiran organisma ubah suai hidup (LMO).

Pada 2018, iceberg lettuce (sejenis salad) ditarik balik oleh pihak berkuasa Singapura selepas ia mengesan tahap racun makhluk perosak yang tinggi dalam sayur-sayuran yang diimport dari ladang Malaysia itu.

Pada 2019, air mineral botol ditarik balik oleh pihak berkuasa Singapura. Air mineral botol tertentu didapati mengandungi Pseudomonas aeruginosa – bakteria biasa yang terdapat dalam najis, tanah, air dan kumbahan.

Pada 2020, pihak berkuasa Singapura menarik balik kundur dari Malaysia memandangkan ia didapati mengandungi sulfur dioksida yang melebihi had maksimum yang dinyatakan dalam Peraturan Makanan Singapura (SFR).

Pada 2021, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengambil tindakan susulan dengan melawat dan menjalankan siasatan ke atas ladang ‘CES 008’ Lay Hong Bhd di Jeram, Selangor, bagi mengenal pasti punca pencemaran Salmonella enteritidis (SE), yang membawa kepada penarikan semula telur syarikat itu di Singapura.

Memandangkan kepada penarikan balik terbaharu ini, CAP menggesa pihak berkuasa supaya:

  • Menyiasat semua ladang ternakan ayam di negara ini untuk memastikan ia mematuhi peraturan keselamatan makanan kita.
  • Melihat bagaimana ayam diternak yang boleh menyumbang kepada pencemaran salmonella.
  • Menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kelemahan sistem pemantauan kita berkaitan dengan keselamatan makanan.
  • Laporan berulang mengenai produk makanan Malaysia yang tidak selamat oleh pihak berkuasa luar negara jelas menunjukkan bahawa pemantauan keselamatan makanan kita tidak mencukupi.

Sementara itu pengguna dinasihatkan untuk memasak telur dengan teliti sebelum memakannya.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 25 Oktober 2022