Selamatkan Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing : CAP

Kawasan Pertanian di Tanah Tinggi Lojing Gua Musang Kelantan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kelantan, jabatan dan agensi yang terlibat mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan lebih 3,000 Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, yang terancam kehidupan mereka akibat aktiviti pertanian yang menjejaskan alam sekitar di kawasan itu.

Masalah ini telah menimbulkan kebimbangan masyarakat Orang Asli di sini berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang berlaku di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Antara kampung yang terdedah kepada ancaman tersebut ialah Kampung Jedip, Brooke Lama, King Kong, Sang Wai A dan B, Sendrop, Bahong, Mendrop, Hendrop dan Kampung Jekjok. Kampung-kampung ini sudah wujud lebih 30 tahun yang lalu dan sekarang menjadi tumpuan para pengusaha pertanian menjalankan aktiviti mereka.

Sejak 2017 hingga Jun 2022 sebanyak 7 kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur telah berlaku di kawasan ini. CAP memandang serius dan bersimpati dengan masyarakat Orang Asli di sini dan menggesa pihak kerajaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menanganinya.

CAP percaya jika masalah ini dibiarkan kesan ke atas alam sekitar dan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan ini akan terjejas dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. CAP juga bimbang penggunaan racun dan baja kimia oleh pengusaha pertanian di sini boleh mencemarkan sumber bekalan air kegunaan penduduk di kawasan itu.

Selain itu kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perlu menjalankan kajian mengenai kemerosotan sumber pendapatan dan kerosakan harta benda akibat masalah ini serta mencadangkan supaya pampasan yang setimpal diberikan kepada mereka yang terlibat.

CAP turut menggesa kerajaan Kelantan mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil mengenai masalah ini kepada umum. Semua jabatan dan agensi yang terlibat termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas serta keselamatan masyarakat Orang Asli di sini sentiasa terjamin.

Pada masa akan datang CAP mencadangkan supaya pihak kerajaan mengambil tindakan menghentikan aktiviti pertanian di sini dengan menanam semula spesies pokok hutan yang bersesuaian bagi memulihkan kerosakan alam sekitar yang berlaku dan mengembalikan kawasan ini sebagai hutan simpan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 19 September 2022