Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) mengkaji semula kelulusan projek menyedut pasir laut di Yan, Kedah kerana ia menjejaskan alam sekitar dan sumber pendapatan penduduk di daerah itu.
Selain KetSA, kerajaan Kedah dan Jabatan Perikanan juga perlu menyiasat aktiviti tersebut kerana ia turut mengancam sumber perikanan dan kehidupan lebih kurang 1,000 nelayan di sini.
CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat, selain boleh menjejaskan keadaan semula jadi empat buah pulau di perairan tersebut iaitu Pulau Song Song, Pulau Telur, Pulau Bunting dan Pulau Bidan, pembiakan hidupan laut dan ekosistem di sini juga terancam.
Operasi menyedut pasir hanya dibenarkan di luar kawasan 3 batu nautika dari pulau-pulau berkenaan namun kapal penyedut pasir di sini kerap melakukan aktiviti mereka berhampiran pulau-pulau itu pada waktu malam bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Antara pulau yang teruk terancam ketika ini ialah Pulau Song Song. Pantainya telah menjadi sempit dan semakin mendap. Kawasan ini dahulunya menjadi tempat penyu mendarat tetapi sekarang tidak lagi sesuai untuk hidupan itu bertelur dan membiak.
CAP bimbang dengan masalah ini kerana aktiviti menyedut pasir laut di perairan tersebut bukan saja boleh mengancam keadaan semula jadi pulau-pulau tersebut dan mencemarkan perairan berkenaan tetapi juga memusnahkan tempat pembiakan ikan.
KetSA, jabatan dan agensi yang terlibat termasuk kerajaan Kedah perlu memberi perhatian serius terhadap rungutan dan bantahan penduduk tempatan sebelum ini kerana mata pencarian mereka semakin terjejas akibat masalah itu.
CAP percaya jika keadaan tersebut berlarutan hidupan laut di perairan itu akan mengalami kepupusan dan boleh menggugat sektor perikanan negara pada masa akan datang. Empat buah pulau di perairan ini mungkin lenyap dan hanya tinggal nama suatu ketika nanti jika punca kejadian itu tidak ditangani segera.
CAP kesal dengan kelulusan projek ini yang sepatutnya dikaji secara terperinci terlebih dahulu dan dipantau dengan rapi oleh pihak kerajaan agar ia tidak mengancam alam sekitar dan menimbulkan masalah ke atas kehidupan nelayan di daerah itu.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna- Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 22 September 2022