Sesuatu perlu dilakukan mengenai garis hijau dan merah jambu

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima banyak panggilan daripada orang ramai mengenai garis hijau dan merah jambu yang muncul pada skrin telefon pintar mereka. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) digesa meneliti perkara itu memandangkan pemilik telefon mendakwa ia adalah kecacatan pembuatan dan mereka diminta oleh peniaga untuk membayar bagi pembaikan itu dan ini tidak adil.

Berdasarkan carian kami dalam talian, terdapat banyak aduan yang serupa. Dalam satu kes, pemilik diminta membayar RM1149.80 memandangkan perantinya yang berharga RM4,000 telah melepasi tempoh jaminan. Didakwa bahawa India dan Korea memberikan penggantian percuma skrin dengan satu laporan menyatakan bahawa penggantian itu adalah percuma walaupun tempoh jaminan telah tamat.

Pengilang masing-masing perlu melakukan pembaikan secara percuma kerana ia adalah kecacatan produk atau pembuatan. Di sinilah KPDNKSH perlu mengambil langkah untuk memastikan pengeluar telefon tidak memaksa pemilik telefon untuk membayar daripada poket mereka sendiri, walaupun telah melewati tempoh jaminan. Sebabnya ialah kecacatan yang wujud itu ada menunggu masa sahaja untuk muncul walaupun ia bukan melalui penyalahgunaan atau haus dan lusuh biasa.

Jika pusat servis India mampu menyediakan penggantian skrin percuma, mengapa Malaysia tidak boleh melakukan perkara yang sama? Mungkin KPDNKSH perlu mencontohi negara yang menguatkuasakan penarikan balik produk bagi produk yang rosak kerana ia amat tidak adil kepada pengguna yang sekurang-kurangnya boleh mencuba untuk mendapatkan penyelesaian di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 20 September 2023