Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kelantan mendedahkan hasil siasatan mengenai kejadian tebing Sungai Kelantan yang runtuh di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas baru-baru ini.
CAP memandang serius kejadian berkenaan kerana ia melibatkan 15 keluarga yang tinggal berhampiran sungai tersebut dan ada di antara rumah penduduk terbabit telah musnah akibat runtuhan tebing sungai itu.
Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia, 18 Februari 2021, mengenai perkara ini, CAP berharap siasatan menyeluruh melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat dilakukan dengan segera.
CAP bimbang jika punca masalah itu gagal ditangani dengan berkesan ia berkemungkinan boleh berlaku di kawasan lain pada masa akan datang.
Memandangkan di Sungai Kelantan terdapat banyak lokasi aktiviti mengorek pasir, pihak berkenaan perlu memberi tumpuan utama terhadap aktiviti tersebut kerana ia dibimbangi menjadi punca utamanya.
Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas pihak yang didapati menjadi punca berlakunya kejadian ini.
Berhubung keluarga yang menjadi mangsa kejadian ini, CAP memohon agar bantuan segera diberikan kepada mereka bagi meneruskan kehidupan.
Kenyataan Media, 18 Feb 2021