Sokongan Kuat dan Usaha Bersama Menjadikan Penjimatan Tenaga Berjaya

Membaca dan belajar: Pelajar mengambil panduan daripada panduan “Jimat Tenaga” yang mereka baca.

SK St Xavier, Ayer Itam, Pulau Pinang mendapat sokongan penuh daripada seluruh warga sekolah yang membolehkannya berjaya mewujudkan penyertaan aktif dan menggalakkan tingkah laku penjimatan tenaga dalam kalangan guru dan pelajar. Usaha kolektif semua orang di sekolah telah membantu menjadikan sekolah lebih cekap tenaga hari ini.

“Sokongan Penuh daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi Inisiatif Penjimatan Tenaga” – GURU PENOLONG KANAN KOKURIKULUM Dr. Sinawati Binti Zain

Penjimatan tenaga merupakan satu langkah bijak untuk menjimatkan elektrik dan wang. Dengan panduan dan idea daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), kami melantik Pengawas Tenaga dan membangunkan garis panduan untuk diikuti oleh pelajar. Di sekolah, lampu mesti dimatikan sebelum pukul 7.00 pagi. Kipas hanya boleh dihidupkan selepas pukul 9.00 pagi, memandangkan pada waktu sebelumnya, cuaca masih sejuk. Kelajuan kipas tidak boleh melebihi tiga, kerana semakin cepat ia berputar, semakin banyak elektrik yang digunakan.

Mempelajari cara menjimatkan tenaga: Seorang pelajar membaca panduan “Jimat Tenaga” CAP.

Pengawas Tenaga ialah pelajar yang terakhir meninggalkan kelas selepas memastikan semua lampu dan kipas dimatikan. Guru besar atau Penolong Kanan akan membuat pemeriksaan akhir. Kelas yang tidak menutup suis lampu atau kipas tidak dibenarkan untuk menghidupkan kipas pada pukul 9.00 pagi keesokan harinya. Mereka perlu menunggu sehingga pukul 10.00 pagi untuk menghidupkan kipas.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi sokongan penuh kepada kami dalam semua usaha ini. Ibu bapa pelajar berpuas hati dengan inisiatif penjimatan tenaga kami kerana di rumah mereka sedar anak-anak mereka menutup suis lampu dan kipas tanpa perlu disuruh. Terutamanya pelajar yang dilantik sebagai Pengawas Tenaga mereka menunjukkan sikap yang sama di rumah seperti mana ditunjukkan di sekolah. Pelantikan sebagai Pengawas Tenaga adalah pengiktirafan yang membanggakan bagi mereka. Setelah menerima lencana, Pengawas Tenaga melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi.

Seorang pelajar mendapat lencana Pengawas Tenaga. Pengawas Tenaga membantu mengurus dan mengurangkan penggunaan tenaga di sekolah dengan memastikan pelajar menjimatkan penggunaan elektrik.

Bagi bilik darjah yang menunjukkan kepatuhan dan keberkesanan dalam menjimatkan tenaga, pihak PIBG memberikan hadiah untuk menghargai dan mengiktiraf usaha mereka. Hadiah ini diberikan setiap enam bulan.

Sejak permulaan program penjimatan tenaga ini, bil elektrik kami menunjukkan sedikit pengurangan setiap bulan. Bil itu mengalami kenaikan mendadak selepas Lembaga Pengurus Sekolah menghadiahkan penyaman udara untuk bilik guru. Selepas itu, bil-bil itu menunjukkan jumlah yang lebih kurang sama hasil daripada langkah-langkah penjimatan elektrik kami.

Aktiviti penjimatan tenaga membantu mengurangkan penggunaan elektrik dan seterusnya bil elektrik. Kami juga lebih prihatin terhadap kesan dalam jangka panjang. Ia lebih ke arah memupuk nilai seperti mengelakkan pembaziran dan menghargai apa yang telah dikurniakan kepada kami. Selepas menyertai program penjimatan tenaga, pelajar lebih peka mengenai penjimatan tenaga dan memahami bagaimana ia membentuk masa depan.

Seorang guru dan pelajarnya membincangkan langkah penjimatan tenaga yang diperkenalkan di sekolah.

“Saya kini lebih sedar mengenai penjimatan tenaga” – PELAJAR Darjah 6 Lee Jian Shuo

Selepas program penjimatan tenaga yang berguna di sekolah kami ini, saya menjadi lebih prihatin mengenai menutup suis kipas dan lampu apabila tidak menggunakannya. Kita tidak perlu menggunakan penyaman udara semasa cuaca sejuk. Kita juga perlu mematikan lampu apabila tempat itu sudah cukup terang. Sebagai Pengawas Tenaga, kami saling membantu menjalankan tugas kami untuk mengurangkan penggunaan elektrik.

“Produk 5 bintang membantu menjimatkan elektrik” PELAJAR Darjah 6 Havinash Swaran

Saya belajar mengenai produk elektrik lima bintang yang membantu mengurangkan penggunaan elektrik. Pada masa depan, saya akan menggunakan produk sebegitu untuk menyumbang kepada kecekapan tenaga. Saya dan rakan-rakan, sebagai Pengawas Tenaga, menjalankan tugas kami dengan penuh dedikasi. Menjimatkan elektrik adalah penting untuk mengurangkan bil. Ia juga membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.