SPRM Perlu Bertindak Terhadap Pembuangan Haram Sisa Binaan di Pontian

Imej untuk tujuan ilustrasi

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang sisa binaan di Pontian, Johor, yang didakwa berasal dari Singapura.

Menurut laporan media, penduduk beberapa kampung di Pontian sukar untuk tidur dengan nyenyak pada waktu malam akibat bunyi bising konvoi lori yang melalui jalan batu kelikir yang sempit untuk membuang sisa binaan seperti simen, serpihan jubin, dan peralatan binaan terpakai yang dipercayai oleh pihak berkuasa Johor sebagai berasal dari Singapura. Pada hari-hari tertentu, sebanyak 50 buah lori memasuki tapak itu, dan kegiatan ini telah berlarutan sejak awal 2025. Selain pencemaran bunyi, penduduk juga mungkin terdedah kepada bahaya asbestos yang mungkin terkandung dalam sisa binaan berkenaan.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura mendakwa bahawa Singapura tidak membenarkan sisa binaan dan perobohan (C&D) dieksport untuk tujuan pelupusan. Walau bagaimanapun, perbincangan dengan pihak berkuasa pengurusan sisa negara, SWCorp, mengenal pasti sembilan syarikat yang dikaitkan dengan pembuangan haram sisa binaan di Pontian itu sebagai syarikat Malaysia.

Bagaimanakah sisa binaan boleh melepasi sempadan sedangkan Singapura mempunyai undang-undang dan peraturan yang mengawal selia eksport bahan terpakai dan sisa? Pada masa yang sama, Malaysia juga mempunyai undang-undang dan peraturan yang wajib dipatuhi berkaitan pengurusan, perdagangan, dan pelupusan sisa. Pihak yang bertanggungjawab mestilah dikenal pasti dan dipastikan memikul tanggungjawab sepenuhnya di sisi undang-undang.

CAP menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bagaimana sejumlah besar lori boleh mengangkut dan melupuskan sisa binaan dalam kuantiti yang banyak di lokasi yang tidak dikhaskan, serta menyebabkan pencemaran alam sekitar tanpa dikenakan tindakan.

Kami juga menggesa pihak berkuasa Singapura dan Malaysia untuk menjelaskan bagaimana lori-lori itu berjaya melepasi pusat pemeriksaan tanpa dikesan, serta memastikan pelanggaran seumpama itu tidak berulang lagi.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 10 September 2026