Suara Penduduk: Ketatkan Kawalan Pemprosesan Sisa, Larangkan Pengimportan Sisa Elektronik

Selama bertahun-tahun, penduduk Kuala Langat, Klang dan Hulu Selangor, termasuk dari Banting, Jenjarom, Sijangkang, Olak Lempit, Telok Panglima Garang, Pulau Carey, Meru, Kapar, Rasa, dan banyak tempat lagi, telah banyak menderita akibat pencemaran daripada  kilang dan tapak pembuangan sampah haram yang tidak bertanggungjawab.

Banyak kilang pemprosesan sisa, termasuk sisa elektronik (e-waste), beroperasi di kawasan tempat tinggal kami, dan sering melepaskan bahan toksik atau membakar sisa secara terbuka yang mencemarkan udara, air, dan tanah kami.

Para penduduk telah berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai operasi e-waste haram sejak tahun 2019, namun kilang-kilang masih beroperasi, sehingga tindakan penguatkuasaan kebelakangan ini.

Kami, komuniti yang terkesan, tidak boleh bertolak ansur dengan ancaman terhadap kesihatan dan alam sekitar yang teruk akibat pemprosesan sisa haram ini. Kami menuntut tindakan tegas yang berterusan daripada kerajaan untuk melindungi kampung, keluarga, anak-anak, dan masa depan kami.

Kesan Buruk Pemprosesan E-Waste

1.  Pencemaran Udara dan Bahaya Kesihatan

Pembakaran e-waste membebaskan bahan kimia toksik seperti dioksin, furan, dan logam-logam berat ke udara, yang boleh menyebabkan masalah pernafasan, penyakit kronik, dan juga kanser. Kami selalu mengalami batuk berterusan, kesukaran bernafas, iritasi mata dan ruam kulit. Kualiti udara yang seringkali merosot memberi kesan negatif khususnya kepada anak-anak kami dan warga emas.

2.  Pencemaran Air

Bahan kimia toksik dari kilang e-waste haram dibuang ke sungai dan longkang, dan mencemarkan sumber air. Logam-logam berat seperti plumbum, merkuri, dan kadmium akan meresap ke dalam air bawah tanah, menjadikannya tidak selamat untuk diminum dan digunakan dalam pertanian.

Kami bimbang bahawa bekalan air minuman juga akan tercemar, yang mendedahkan komuniti kepada risiko keracunan. Petani yang bergantung kepada air sungai untuk pengairan secara tidak sedar mendedahkan tanaman mereka kepada bahan toksik.

Kehidupan akuatik juga terjejas teruk oleh pencemaran, menyebabkan penurunan populasi ikan dan kemusnahan ekosistem, misalnya sepanjang Sungai Langat.

3.  Pencemaran Tanah dan Risiko Makanan Tercemar

E-waste mengandungi bahan berbahaya yang meresap ke dalam tanah apabila dilupus secara tidak terkawal. Toksin ini terkumpul dalam tanaman dan memasuki rantaian makanan, menimbulkan risiko kesihatan jangka panjang kepada pengguna.

Lembu-lembu selalu meragut di sekitar tapak pelupusan haram di Kuala Langat dan Klang. Pencemaran tanah akibat e-waste juga akan menyebabkan kesuburan tanah merosot dan tanaman tercemar, menjejaskan pendapatan serta keselamatan makanan.

Pendedahan berterusan kepada bahan berbahaya ini boleh menyebabkan gangguan saraf, kelewatan perkembangan dalam kanak-kanak, dan masalah pembiakan. Ini memberi kesan buruk kepada generasi muda kami dan generasi akan datang.

Tuntutan Kami

Kami, komuniti yang selalu berhadapan dengan pencemaran di kawasan kediaman kami, menuntut tindakan segera daripada kerajaan:

1.  Larangan Kekal ke atas Pengimportan E-Waste dan Kurangkan Pengimportan Sisa Berbahaya Lain, Seperti Sisa Plastik

Malaysia sudah tidak mampu menangani sisa-sisa haram yang sedia ada. Jika pengimportan e-waste dibenarkan, masalah ini akan menjadi lebih teruk. Baki ⁠sisa-sisa yang dijana semasa proses kitar semula atau bahagian e-waste yang tidak boleh dikitar semula sering dibuang di kawasan kami, sampai menjadi gunung di Kapar, Klang.

Kami adalah saksi kepada kenyataan bahawa Malaysia menjadi tapak pembuangan sampah dunia. Kami menuntut tindakan yang tegas di pelabuhan, termasuk pelabuhan kecil swasta, supaya sisa-sisa ini tidak dapat diseludup masuk ke Malaysia.

2.  Penguatkuasaan Lebih Tegas terhadap Kilang Berlesen dan Kilang Haram

Kami menggesa pihak penguatkuasa untuk teruskan usaha baik yang telah dilakukan pada tahun ini dan menjalankan serbuan berkala ke atas kilang-kilang pemprosesan sisa, berlesen dan tidak berlesen, di seluruh negara.

Diharapkan pihak kerajaan tempatan, seperti Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Bandaraya Diraja Klang, dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor, mengambil tindakan tegas dengan menutup dan merobohkan kilang-kilang haram serta merampas peralatan mereka supaya mereka tidak berpindah. Kerajaan mesti memperkukuh lagi penguatkuasaan bersama untuk memastikan kilang haram tidak dapat beroperasi semula, dan kenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat dalam pemprosesan e-waste tanpa kebenaran.

Kami juga menuntut bahawa syarat-syarat kelulusan untuk kilang pemprosesan besar diketatkan supaya industri berat tidak didirikan di sebelah sekolah rendah, seperti di Sungai Manggis, atau berhampiran dengan kawasan penduduk, seperti di Olak Lempit..

3.  Ketelusan terhadap Hasil Usaha Penguatkuasaan

 Kami menyeru kerajaan supaya mengumumkan tempat di mana kilang haram dijumpai, jumlah kilang yang telah ditutup, denda yang dikenakan, dan individu yang telah didakwa. Kami juga  berharap kerajaan akan melaksanakan apa yang dijanjikan mengenai pelan tindakan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan pemprosesan e-waste haram daripada berulang.

4.  Pemantauan Alam Sekitar dan Kesihatan di Kawasan Terjejas, serta Pemulihan Kawasan Tercemar

Kerajaan juga mesti menjalankan penilaian  kualiti udara, air, dan tanah secara berkala untuk menilai tahap pencemaran, serta menyediakan pemeriksaan kesihatan dan bantuan perubatan kepada penduduk yang terjejas. Hasil kajian-kajian ini mesti dikongsikan dengan penduduk. Kami, Rakyat Marhaen, mempunyai hak untuk mengetahui  perkara yang menjejaskan kami. Kawasan yang tercemar perlu dipulihkan, bukan sekadar diratakan dan ditutup oleh tanah.

Kerajaan Mesti Mengambil Tindakan Tegas

Kami tidak lagi boleh bertoleransi  dengan sikap tidak bertanggungjawab syarikat dan kelemahan penguatkuasaan oleh agensi kerajaan. Setiap hari, tanpa tindakan yang tegas dan kelewatan penguatkuasaan menyebabkan lebih ramai penduduk menghadapi pelbagai masalah kesihatan mental dan fizikal, pencemaran dan kualiti kehidupan yang semakin merosot.

Kami menggesa kerajaan untuk sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat Malaysia. Kesihatan komuniti kami tidak boleh terus digadaikan sementara pemprosesan sisa haram terus beroperasi dengan bebas.

Kami menuntut tindakan segera dan tegas untuk menghentikan penyeludupan serta pemprosesan haram e-waste dan sisa-sisa lain, dan menekankan bahawa kilang haram tidak patut diputihkan, terutamanya kilang yang beroperasi di atas tanah pertanian.

 

Surat kepada Pengarang, 13 Mac 2025

 

Kenyataan ini disokong oleh Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat; Kawasan Rukun Tetangga Taman Cenderawasih, Olak Lempit; Persatuan Tindakan Alam Sekitar Klang; Persatuan Komuniti Penduduk Taman Periang, Banting; Persatuan Penduduk Anak Pewaris Kampung Jenjarom; Penduduk Sijangkang; dan Gabungan Kelestarian Alam Sekitar Rasa.