
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mengambil tindakan segera terhadap penjualan produk makanan import yang tidak mematuhi undang-undang Malaysia.
Tinjauan terbaharu yang dijalankan oleh CAP menunjukkan bahawa banyak produk makanan asing dari China, Thailand, Bangladesh, Jepun, Vietnam dan Korea tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Bahagian IV (Pelabelan) dan Akta Perihal Dagangan 1972 Bahagian 11 Seksyen 6(1) dengan sewajarnya.
Label pada produk ini tidak mempunyai nama dan alamat pengimport, pengedar dan sesetengahnya tidak mempunyai senarai ramuan yang terkandung dalam produk. Selain itu, bahasa yang digunakan pada label juga menggunakan bahasa negara masing-masing dan bukannya dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris seperti yang dikehendaki di bawah Akta berkenaan.
Pengguna mungkin menganggap produk yang dijual itu selamat untuk dimakan tetapi ada perkara yang mungkin kita terlepas pandang. Kita perlu memastikan sama ada produk makanan itu tidak mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Contohnya, seseorang itu mungkin rebah dan mati akibat kejutan anafilaksis jika dia secara tidak sengaja mengambil produk makanan yang mengandungi bahan yang dia alah kepadanya. Label itu tidak berguna jika bahan-bahan itu diisytiharkan dalam bahasa asing yang tidak dapat dibaca dan difahami oleh rakyat Malaysia. Atas sebab ini, pengguna mungkin dimasukkan ke hospital atau mati.
Label berfungsi sebagai sumber maklumat penting yang membantu kita membuat pilihan pemakanan yang bijak dan selamat.
Walaupun E-nombor diterima untuk digunakan sebagai kod bagi bahan tambahan makanan dalam Kesatuan Eropah (EU), pengguna Malaysia tidak begitu biasa dengan kod tersebut. Contohnya, pengeluar mungkin menyatakan E102 dan bukannya tartrazine sebatian kuning yang mungkin menjadi alahan kepada sesetengah orang, terutamanya mereka yang tidak bertoleransi terhadap pewarna Azo.
Pengguna mungkin tidak tahu bahawa E249 ialah E-nombor bagi kalium nitrit dan E252 bagi kalium nitrat. Bahan kimia ini digunakan kebanyakannya dalam daging yang diawet dan ia boleh bertukar menjadi nitrosamin oleh sistem penghadaman. Kebanyakan nitrosamin adalah karsinogen.
Kita perlu mempunyai kawalan yang lebih baik dan pemantauan yang cekap terhadap pengimportan produk makanan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
CAP menggesa pihak berkuasa untuk memastikan bahawa produk makanan yang mempunyai label semata-mata dalam bahasa asing dikeluarkan dari rak dan bagi peruncit untuk memastikan produk itu tidak dijual di kedai mereka. Jika tidak, ia hanya mempersendakan undang-undang.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 13 Mac 2025