
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera menangani masalah pencemaran Sungai Bera yang disyaki akibat pembuangan sisa kimia dari kilang di kawasan tersebut atau penggunaan tuba oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Kejadian yang menyebabkan ikan di dalam sungai tersebut mati dikesan bermula di Sungai Kerting berhampiran Kampung Lubuk Tembangan sebelum merebak ke Sungai Bera. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan risiko keracunan kalangan penduduk tempatan jika masalah itu berterusan.
Mengulas laporan akhbar Berita Harian bertarikh 2 Oktober 2025 mengenai perkara ini, CAP kesal walau pun pencemaran tersebut sudah lama berlaku dan banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan namun tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya.
CAP berpendapat masalah ini perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib kerana ia bukan saja mengancam alam sekitar tetapi juga menjejaskan sumber pendapatan penduduk dan boleh memudaratkan kesihatan orang ramai pada masa akan datang. JAS perlu menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tegas agar kejadian ini tidak berulang.
CAP juga berharap agar Jabatan Perikanan dan Jabatan Kesihatan menjalankan ujian tahap keracunan ke atas bangkai ikan bagi menjamin keselamatan kesihatan orang ramai yang menjalankan aktiviti tangkapan ikan di kawasan yang terlibat termasuk kualiti air di loji berdekatan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 3 Oktober 2025

