
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang, jabatan dan agensi yang terlibat menyiasat dan mengambil tindakan segera punca pokok bakau mati yang berlaku di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.

CAP kesal walau pun masalah tersebut sudah lama berlaku dan aduan mengenainya telah dibuat kepada pihak berkenaan namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil untuk menangani masalah ini sehingga menyebabkan kemusnahan khazanah alam semulajadi ini semakin meluas.
Tinjauan CAP mendapati, lebih kurang 3 hektar pokok bakau di kawasan antara Kuala Sungai Pinang dan Kuala Sungai Bharu telah mati dan beberapa hektar lagi mungkin turut terjejas dan musnah jika punca masalah ini dibiarkan berlarutan.
CAP difahamkan oleh Jabatan Perhutanan Pulau Pinang bahawa pokok-pokok bakau jenis api api yang mati itu berkemungkinan disebabkan oleh sisa bahan buangan daripada kolam ternakan udang berhampiran.

Memandangkan hutan paya bakau merupakan ekosistem penting bagi pembiakan pelbagai spesies hidupan laut, CAP bimbang keadaan ini akan menjejaskan mata pencarian kira-kira 500 nelayan pantai di kawasan tersebut dengan lebih serius lagi pada masa akan datang jika tindakan tegas tidak diambil oleh pihak berkenaan.
Nelayan di sini memberitahu CAP, bahawa hasil tangkapan mereka seperti ikan, ketam dan udang telah berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan dipercayai akibat pencemaran sisa buangan dari kolam ternakan udang dan kemusnahan hutan paya bakau berlaku.

Mereka juga menghadapi masalah ketika melabuhkan pukat di laut kerana gangguan sisa pokok bakau yang ditebang dibawa arus dan mencemarkan perairan itu. Manakala sistem saliran sekitar kolam ternakan udang di sini juga telah tertimbus dan tersumbat oleh sisa buangan.
CAP meminta Jabatan Perikanan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), serta Pejabat Daerah Barat Daya memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
CAP berharap hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil didedahkan kepada umum dalam masa terdekat.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Media, 10 Februari 2025