Plumbum boleh menjadi berbahaya kepada lelaki, wanita dan kanak-kanak terutama sekali bayi dan wanita hamil atau sedang menyusu dan tidak terdapat paras selamat bagi pendedahan plumbum. Pendedahan kita kepada plumbum seharusnya SIFAR.
Plumbum amat toksik kepada sistem reproduktif lelaki dan wanita. Pada lelaki, ia boleh mengurangkan bilangan sperma dan menghasilkan sperma yang cacat. Remaja lelaki yang terdedah kepada plumbum ketika kanak-kanak akan menghasilkan sperma cacat apabila akil baligh.
Pada 2015, Institute for Health Metrics and Evaluation di Seattle, menganggarkan pendedahan kepada plumbum di seluruh dunia menyebabkan kira-kira 500,000 kematian pada tahun itu dan 12% menyebabkan kecacatan seperti cerebral palsy dan epilepsi.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menjalankan beberapa ujian ke atas makanan dan produk untuk mengesan plumbum. Bertahun-tahun kami mendapati kehadiran plumbum dalam pelbagai produk seperti cat, kosmetik, pewarna rambut, penyepit, makanan dalam tin, pensil warna, poster colour, seramik dan susu tepung bayi.
Pada masa ini hanya terdapat peraturan bagi plumbum dalam makanan dan kosmetik. Bagi cat, undang-undang menyatakan maksimum penghijrahan plumbum dalam cat yang boleh diterima tidak lebih daripada 90 bahagian per sejuta (ppm) dalam mainan kanak-kanak di bawah usia 14 tahun. Ini tidak mencukupi kerana ia tidak membabitkan cat yang boleh menyumbang kepada pendedahan kita kepada plumbum termasuk terhadap kanak-kanak.
Sehingga 31Ogos 2017, 67 negara mempunyai undang-undang yang mengikat kawalan kepada had pengeluaran, import dan penjualan cat berplumbum. Malaysia tidak mempunyai undang-undang mengawal plumbum dalam cat.
Oleh sebab itu, Malaysia perlu segera mempunyai undang-undang yang mengehadkan jumlah plumbum dalam cat untuk isirumah dan kegunaan hiasan.
UN Environment Programme
World Health Organization (WHO)
IPEN: for a toxics-free future