
Dasar rasionalisasi subsidi bahan api mestilah dilaksanakan dan tidak perlu ada pusingan U kerana tekanan daripada pihak berkepentingan dan kumpulan politik. Pemimpin kerajaan mestilah bertindak tegas apabila melaksanakan dasar yang dianggap tidak popular tetapi dalam jangka panjang akan menjadikan ekonomi kita lebih berdaya tahan untuk memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.
Bermula dengan subsidi bersasar bagi bahan api diesel adalah satu langkah yang tepat. Subsidi mestilah bagi mereka yang memerlukan dan bukan bagi semua orang tanpa mengira status ekonomi mereka. Dengan melaksanakan dasar rasionalisasi ini, kerajaan akan mempunyai RM4 bilion – dianggarkan RM8 billion oleh seorang pakar ekonomi – yang boleh digunakan untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial. Penerima subsidi mestilah diperkasakan supaya selepas satu tempoh mereka boleh berdikari dan tidak lagi bergantung kepada pemberian.
Pelaksanaan dasar itu perlu dipantau rapi bagi memastikan tiada ketirisan dan penyelewengan. Subsidi itu mestilah diberikan kepada individu, kumpulan dan perniagaan yang disasarkan dan tidak dirampas oleh perasuah. Sebarang kelemahan dalam pelaksanaan hendaklah diatasi dengan segera dan diperbetulkan. Selain itu mestilah diadakan satu meja khusus di Kementerian yang berkaitan untuk memantau pelaksanaan dan menangani masalah serta aduan daripada pihak yang terjejas.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memantau harga barangan dan perkhidmatan yang dijual kepada orang ramai bagi mengelak pencatutan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada pemansuhan subsidi bahan api diesel. Menurut pakar ekonomi, ia hanya akan memberi kesan minimum kepada kos menjalankan perniagaan. Oleh sebab itu, tiada kewajaran untuk menaikkan harga. Tindakan tegas mestilah diambil terhadap pencatut, termasuk mendakwa mereka di mahkamah dan membatalkan lesen mereka.
Berdasarkan pengalaman yang diperoleh daripada pelaksanaan penghapusan subsidi bahan api diesel, langkah seterusnya adalah rasionalisasi subsidi petrol Ron 95 yang akan menghasilkan penjimatan yang lebih besar kepada kerajaan. Kumpulan rentan yang terjejas oleh dasar rasionalisasi bahan api ini boleh diberi bantuan kewangan bagi menampung kos yang meningkat.
Dalam belanjawan 2024, subsidi bahan api termasuk diesel berjumlah RM60 bilion setahun, iaitu 1.5 kali ganda jumlah yang diperuntukkan bagi penjagaan kesihatan, iaitu sekitar RM40 bilion. Sebuah hospital moden dengan 1,000 katil berharga antara RM1.3 hingga RM1.4 bilion. Bayangkan apa yang boleh kita lakukan dengan penjimatan daripada pemansuhan subsidi ini, iaitu lebih banyak hospital yang lengkap dengan alat-alat moden dan penjagaan kesihatan yang jauh lebih baik.
Harga petrol bersubsidi Malaysia (RON 95) menjadikannya paling murah dalam kalangan sembilan negara anggota Asean. Harga petrol di Malaysia adalah 47.44 peratus lebih rendah berbanding Indonesia (RM3.90) dan 54.24 peratus lebih rendah daripada Vietnam (RM4.48). KDNK per kapita kita ialah 13.31 ribu, Thailand 7.81 ribu dan Vietnam 4.62 ribu.
Subsidi menyeluruh tidak mampan kerana ia memberi tekanan kepada tabung negara. Pada 2020, kerajaan membelanjakan RM4.66 bilion untuk jumlah subsidi; pada 2021, RM13.13 bilion; dan pada 2022, hampir RM80 bilion yang digambarkan sebagai “tertinggi dalam sejarah”.
Dengan penjimatan subsidi bahan api, kerajaan perlu menambah baik pengangkutan awam yang secara amnya kurang di negara ini, memastikan perkhidmatan yang kerap serta sistem bas pengantara yang cekap untuk kemudahan yang lebih baik kepada penumpang. Ini akan mengurangkan bilangan kereta persendirian di jalan raya yang membawa kepada penjimatan tenaga dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 12 Jun 2024