Jika anda mencari makanan ringkas untuk menyokong kesihatan yang menyeluruh, tomato adalah pilihan yang tepat. Tomato merupakan sumber nutrien yang hebat dengan pelbagai manfaat kesihatan.
Tomato kaya dengan bahan yang dipanggil likopena. Bahan ini memberikan warna merah terang kepada tomato dan melindunginya daripada sinaran ultraungu matahari. Dengan cara yang hampir sama, ia juga dapat membantu melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan.
Tomato juga mengandungi kalium, Vitamin B dan E, serta nutrien lain yang melindungi kesihatan.
Berikut adalah manfaat pengambilan tomato terhadap tubuh.
SISTEM IMUN. Likopena ialah antioksidan yang melawan molekul dipanggil radikal bebas yang boleh merosakkan sel dan menjejaskan sistem imun. Oleh itu, pengambilan makanan yang kaya dengan likopena, seperti tomato, mungkin dapat mengurangkan risiko anda menghidap kanser paru-paru, perut, atau prostat. Sesetengah kajian menunjukkan ia juga mungkin membantu mencegah penyakit pada pankreas, kolon, kerongkong, mulut, payudara, dan serviks.
JANTUNG. Likopena juga mungkin membantu menurunkan tahap LDL atau kolesterol “jahat” serta tekanan darah. Ini boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. Nutrien lain dalam tomato, seperti Vitamin B dan E serta antioksidan yang dipanggil flavonoid, juga boleh meningkatkan kesihatan jantung.
MATA. Tomato mengandungi bahan yang dipanggil lutein dan zeaxanthin yang mungkin membantu melindungi mata daripada cahaya biru yang dipancarkan oleh peranti digital seperti telefon pintar dan komputer. Ia juga mungkin membantu mengelakkan keletihan mata serta meredakan sakit kepala akibat ketegangan mata. Beberapa kajian menunjukkan ia mungkin mengurangkan risiko menghidap bentuk yang lebih serius bagi punca utama kebutaan, iaitu kemerosotan makula berkaitan usia.
PARU-PARU. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa tomato mungkin bermanfaat bagi penghidap asma dan boleh membantu mencegah emfisema, iaitu keadaan yang merosakkan pundi udara dalam paru-paru secara perlahan-lahan. Ini mungkin disebabkan oleh tindakan likopena, lutein, dan zeaksantin antara jenis antioksidan lain yang melawan bahan berbahaya dalam asap tembakau, iaitu punca utama emfisema. Para saintis sedang berusaha untuk memahami kesan-kesan itu dengan lebih lanjut.
SALUR DARAH. Mengambil lebih banyak tomato dalam diet mungkin mengurangkan risiko strok, iaitu keadaan apabila aliran darah ke bahagian otak terhenti. Kajian menunjukkan bahawa tomato mungkin dapat mengurangkan keradangan, meningkatkan sistem imun, menurunkan tahap kolesterol, dan mencegah pembekuan darah. Semua faktor ini boleh membantu mencegah strok.
KESIHATAN MULUT. Kajian menunjukkan bahawa likopena mungkin membantu mengatasi penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontitis dengan cara yang sama ia membantu mencegah kanser iaitu dengan melawan radikal bebas. Walau bagaimanapun, pengambilan tomato mentah yang banyak boleh merosakkan enamel gigi akibat kandungan asid yang tinggi, dan memberus gigi sejurus selepas itu boleh memburukkan lagi keadaan itu. Adalah disyorkan untuk menunggu sekurang-kurangnya 30 minit sebelum memberus gigi.
KULIT. Anda sedia maklum bahawa topi dan pelindung matahari boleh membantu melindungi daripada cahaya matahari. Sebenarnya, likopena dalam tomato juga mungkin memberikan manfaat yang sama, barangkali dengan cara yang serupa seperti ia melindungi buah tomato itu sendiri. Ia bukanlah pengganti kepada pelindung matahari dan tidak disapu terus pada kulit; namun, ia membantu dengan bertindak terhadap sel-sel tubuh dari dalam.
– daripada artikel “The Health Benefits of Tomatoes” by Paul Frysh, WebMD (7 Jun 2025)


