Udara Pasir Gudang beracun CAP gesa JAS ambil tindakan segera

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi masalah pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.

CAP merasa bimbang dengan punca kejadian tersebut kerana jika dibiarkan ia boleh menjejaskan kesihatan penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa akan datang.

Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini (10 Mac 2021) mengenai kejadian yang berlaku, CAP kesal sehingga kini pihak berkuasa berkenaan masih gagal menangani ancaman pencemaran di kawasan tersebut walaupun ia sudah berlarutan sekian lama.

Terbaharu, Badan Bertindak Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menemui punca pencemaran di sini akibat partikel kimia berbahaya yang dilepaskan menerusi cerobong-cerobong asap kilang.

Hasil kajian ASM sekali gus menolak anggapan bahawa peristiwa getir yang berlaku pada 2019 disebabkan pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim-Kim.

Sebelum ini, 6,000 penduduk di kawasan Pasir Gudang termasuk pelajar-pelajar di 111 buah sekolah mengalami loya, pening kepala, muntah-muntah akibat terhidu udara tercemar di kawasan tersebut.

Laporan kajian ASM ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan dan CAP menggesa tindakan tegas diambil ke atas kilang-kilang yang terlibat agar ancaman pencemaran ini tidak berlarutan.

Pada masa yang sama CAP turut menggesa JAS mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas kilang-kilang yang membuang sisa toksik dalam Sungai Kim-Kim ketika ini.

CAP berpendapat kelemahan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan akan memberi kesan buruk ke atas segala hidupan di dalam sungai tersebut dan sumber pendapatan nelayan.

 

Kenyataan Media, 11 Mac 2021