Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memuji beberapa langkah yang digariskan dalam Belanjawan Negara 2026 tetapi pada masa yang sama berasa kecewa kerana kerajaan tidak mengambil langkah yang lebih berkesan untuk melindungi kesihatan dan alam sekitarnegara.
CAP mengalu-alukan pengenalan Lemon Law melalui pindaan kepada Akta Perlindungan Pengguna. CAP telah secara aktif berkempen bagi Lemon Lawuntuk melindungi pembeli kereta daripada kenderaan yang rosak. Lemon Law ialah remedi untuk pembeli produk pengguna, terutamanya kenderaan bermotor, yang berulang kali gagal memenuhi piawaian kualiti dan prestasi. Kami berharap Lemon Law ini turut diperluaskan kepada kereta baharu.
Kami juga turut berasa gembira kerana kerajaan telah bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-undang Antibuli 2025 pada sidang Parlimen ini. Usaha mobilisasi seperti kempen kesedaran dan program pembinaan kemahiran diperlukan untuk membendung fenomena buli. Dengan menangani kedua-dua tingkah laku dan persekitaran sosial yang mendasarinya, adalah diharapkan agar ia akan mewujudkan anjakan budaya jangka panjang dan mencegah pembulian pada masa hadapan.
Eloklah kebajikan golongan miskin dan terpinggir dijaga dengan lebih banyak peruntukan untuk menampung keperluan mereka dan menangani peningkatan kos sara hidup. Kami berharap subsidi yang disasarkan disalurkan terus kepada golongan berpendapatan rendah dan rentan, dan dipastikan tiada lagi ketirisan.
Rebat bagi pembelian peralatan cekap tenaga adalah langkah yang baik kerana ia menawarkan penjimatan kewangan segera untuk pengguna dan menggalakkan penggunaan produk yang cekap tenaga dan pada jangka panjang akanmengurangkan kesan alam sekitar.
Kami berasa amat kecewa kerana kadar duti eksais ke atas produk rokok hanya akan dinaikkan sebanyak 2 sen bagi setiap batang; cerut, cerutu dan cerut kecil meningkat sebanyak 40 ringgit sekilogram; dan produk tembakau yang dipanaskan akan meningkat sebanyak 20 ringgit sekilogram. Ini terlalu rendah untuk mengurangkan kelaziman merokok.
Kami juga berasa kecewa dengan peningkatan minimum belanjawan yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, dengan hanya RM46.5 bilion ringgit diperuntukkan untuk 2026, peningkatan hanya RM1.2 bilion berbanding tahun lalu. Selain menyediakan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan, kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam langkah pencegahan dan aktiviti promosi kesihatan untuk mengurangkan kos jangka panjang yang berkaitan dengan merawat penyakit kronik dan isu kesihatan lain.
Kami juga berharap lebih banyak langkah akan diambil dan lebih banyak belanjawan diperuntukkan untuk menangani pencemaran, mencegah jenayah alam sekitar, memastikan perlindungan alam sekitar dan melabur dalam usaha sisa sifar yang diterajui masyarakat. Ini tidak tercermin dalam belanjawan tahun ini.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyattan Media, 10 Oktober 2025


