Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat berhubung pendedahan oleh Ketua Hakim Syarie Selangor, Nenney Shuhaidah Shamsuddin bahawa sebanyak 54,506 kes perceraian pasangan Islam telah didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan masalah kewangan dikenal pasti sebagai antara punca utama keruntuhan rumah tangga.
Setiap tahun apabila tibanya musim cuti panjang pada bulan Disember, ramai pasangan mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan dan mengadakan majlis kenduri kahwin sebagai tanda memulakan kehidupan berkeluarga.
Sejak bertahun-tahun CAP memberikan nasihat kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga agar bijak dalam menguruskan kehidupan sebelum dan selepas berumah tangga. Pengurusan kewangan yang berhemah dan komunikasi yang baik antara pasangan amat penting kerana kedua-dua faktor ini sering menjadi punca utama berlakunya konflik serta perceraian.
Salah satu panduan yang sering dikemukakan oleh CAP ialah jangan sesekali berbelanja melebihi daripada kemampuan ketika mengadakan majlis perkahwinan. Perbelanjaan yang keterlaluan untuk majlis, hantaran atau persiapan lain boleh menyebabkan pasangan memulakan kehidupan berumah tangga dengan beban hutang yang tinggi.
Kenapa perlu berbelanja besar semasa mengadakan majlis perkahwinan? Cukuplah dengan majlis perkahwinan yang serba sederhana yang dapat menjimatkan wang yang boleh pula disimpan dan digunakan untuk perkara yang lebih penting pada masa depan.
Hakikatnya membelanjakan wang yang banyak untuk majlis perkahwinan bukanlah satu kemestian. Sebaliknya, pasangan digalakkan untuk bersederhana dan berbelanja sekadar yang termampu. Amalan ini bukan sahaja dapat mengelakkan beban kewangan, malah mampu membentuk budaya berjimat cermat dalam kalangan generasi akan datang agar lebih mengutamakan kesejahteraan rumah tangga berbanding kemewahan majlis.
Ini kerana salah satu faktor yang boleh menggugat kebahagiaan rumah tangga adalah membabitkan soal kewangan. Malah ada pasangan suami isteri hanya menyedarinya selepas berkahwin, mungkin seorang lebih cenderung berjimat dan seorang lagi bersikap boros.
Pertikaian mengenai kewangan dapat dikurangkan jika kedua-duanya mempunyai sikap yang sama, berkongsi pandangan dan komitmen yang sama terhadap pengurusan kewangan keluarga. CAP sentiasa menekankan kepentingan menyediakan belanjawan, mengamalkan sikap berjimat cermat serta berbelanja secara berhemah bagi memastikan kestabilan kewangan dan keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
Elakkan sama sekali daripada terperangkap dalam budaya hutang dan berbelanja secara boros. Wang sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan kita, namun kestabilan kewangan tidak semestinya ditentukan oleh jumlah pendapatan atau kekayaan yang dimiliki.
Walaupun ramai yang mengaitkan kejayaan dengan kemewahan dan kekayaan kebendaan, hakikatnya mempunyai lebih banyak wang tidak menjamin seseorang bebas daripada masalah kewangan. Malah, terdapat juga golongan kaya dan keluarga berpendapatan tinggi yang menghadapi masalah kewangan akibat kegagalan mengurus perbelanjaan dan komitmen kewangan secara berhemah.
Oleh itu, kebahagiaan dan kestabilan rumah tangga bukanlah bergantung semata-mata pada jumlah wang yang dimiliki, tetapi lebih kepada kebijaksanaan pasangan dalam mengurus kewangan keluarga.
Ramai pasangan suami isteri yang berasa sukar untuk hidup sekadar yang mampu kerana mereka terpengaruh dengan budaya pengguna masa kini. Kemudahan kredit yang tersedia dan pengaruh iklan yang merangsang pengguna agar terus membeli menyukarkan lagi pengguna untuk lari daripada budaya berhutang.
Mereka cenderung berbelanja mewah untuk sesuatu majlis keraian walaupun di luar kemampuan. Malah mereka juga tidak sabar untuk mendapatkan lebih banyak wang dalam masa yang singkat hingga terperangkap dalam skim cepat kaya.
Untuk mengelakkan wang hasil titik peluh dibazirkan, pengguna perlu berbelanja hanya apabila benar-benar perlu dan berwaspada terhadap pelbagai perangkap yang mendorong perbelanjaan berlebihan. Malah, sebahagian daripada perangkap ini sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan dengan mempengaruhi tabiat perbelanjaan pengguna.
Salah satu cara untuk pengguna berjimat adalah dengan memahami konsep di sebalik iklan dan strategi yang digunakan untuk memujuk pengguna membeli sesuatu produk atau perkhidmatan. Iklan bukan sekadar mempromosikan barangan, tetapi sering dirancang untuk menarik emosi, memenuhi impian serta membentuk persepsi bahawa kebahagiaan, kejayaan atau penerimaan sosial boleh dicapai melalui pembelian.
Selain itu pengurusan kewangan yang lemah juga boleh menyebabkan pembaziran dan menjejaskan kestabilan kewangan keluarga. Oleh itu, pasangan perlu mengelakkan sikap menganggap membeli-belah sebagai suatu hobi. Hakikatnya, semakin lama seseorang berada di kedai, pasar raya, pasar malam atau pusat membeli-belah, semakin tinggi kecenderungan untuk membeli barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya meningkatkan perbelanjaan yang tidak dirancang.
Pasangan yang telah berumah tangga perlulah memahami tanggungjawab dan peranan sebagai suami dan isteri dalam berumah tangga. Selain mengurus kewangan keluarga dengan berhemah, mereka juga perlu bijak mengurus konflik, menangani cabaran kehidupan dan mengamalkan komunikasi yang terbuka. Keupayaan untuk berbincang dan membuat keputusan bersama dalam perkara berkaitan kewangan, keluarga dan masa depan adalah penting bagi mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga sehingga membawa kepada berlakunya perceraian.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 25 November 2026


