SELAMATKAN PANTAI TANJUNG ASAM : CAP

Beginilah keadaan pokok-pokok di sepanjang pantai.

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), jabatan serta agensi yang berkenaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan pantai dan pencemaran laut yang berlaku di Tanjung Asam dekat Gertak Sanggul ketika ini.

Bangsal tempat pengunjung berteduh, rosak dibadai.

Tinjauan CAP mendapati bahawa hakisan pantai sejak lebih setahun yang lalu ini telah menyebabkan keindahan alam semulajadi pantai tersebut dan sekitarnya berubah keadaan kerana banyak pokok yang telah tumbang dan air laut di sini semakin tercemar. Bangsal untuk pengunjung pantai berteduh juga telah mengalami kerosakan akibat diancam hakisan dan dibadai ombak.

Sebelum ini air laut di sini bersih dan tidak berkelodak, tetapi sekarang telah tercemar dan pasir di kawasan pantai dahulunya putih bersih kini bertukar warna menjadi hitam. Malah ancaman ombak juga semakin kuat melanda kawasan pantai tersebut dan paras air laut turut meningkat hingga ke jalan utama laluan orang ramai ke pantai berkenaan.

CAP menggesa pihak kerajaan menjalankan siasatan dan kajian secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar masalah hakisan pantai ini berlaku. CAP berpendapat, kemungkinan kejadian tersebut disebabkan oleh pelaksanaan projek tambak laut berhampiran yang menghalang arus menyebabkan air laut berpatah balik dan membadai pantai Tanjung Asam.

CAP bimbang jika terbukti masalah ini berpunca dari pelaksanaan projek tambak laut, kesan buruk yang lebih serius ke atas alam sekitar akan berlaku pada masa akan datang jika masalah ini dibiarkan berlarutan dan gagal ditangani dengan berkesan.

Pasir di pantai Tanjung Asam menjadi hitam akibat pencemaran.

CAP meminta kerajaan Pulau Pinang mendedahkan kepada umum hasil siasatan dan kajian yang dibuat tentang perkara ini serta langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 25 Ogos 2026