Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengingatkan rakyat Malaysia khususnya penggubal dasar mengenai akibat menghisap vape. Pada November 2019, seorang remaja dimasukkan ke Hospital Nukleus Labuan kerana mengalami kerosakan paru-paru dalaman yang teruk. Ia pada masa itu disyaki berpunca daripada menghisap vape, menjadikannya yang pertama daripada kes sedemikian yang dilaporkan di Labuan.
Remaja itu mengalami kesukaran bernafas dan ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dia disahkan mengalami kecederaan dalaman paru-paru dan kegagalan buah pinggang.
Pada tahun yang sama, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS) mula menjejaki kes-kes ini dan keadaan itu dipanggil sebagai ‘kecederaan paru-paru yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik atau menghisap vape’ atau EVALI. CDC merekodkan lebih daripada 2,807 kes dan 68 kematian antara Oktober 2019 (semasa EVALI pertama kali dilaporkan) sehingga Februari 2020.
Pada 17 April 2023, sumber berita perubatan Medscape memuatkan artikel bertajuk Forgotten but Not Gone: EVALI Epidemic Continues (Dilupakan tetapi Tidak Hilang: EVALI Epidemic Berterusan). Ia dengan tepat menyatakan, “Bagi kebanyakan orang, wabak EVALI adalah ingatan yang jauh sebelum COVID” tetapi sebenarnya ia masih merupakan ancaman yang kuat.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata dalam sidang Parlimen baru-baru ini bahawa seorang gadis berusia 16 tahun dengan sejarah menghisap vape selama 3 tahun meninggal dunia pada 5 Jun lalu. Kematian remaja itu dikaitkan dengan “kegagalan jantung akut dengan embolisme pulmonari dengan berkemungkinan kes EVALI”.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 17 kes EVALI yang dilaporkan dalam tempoh dua minggu pertama Jun 2023.
Dr Zaliha juga turut mengetengahkan kes keracunan nikotin yang dialami oleh kanak-kanak berusia 2 tahun yang kini mengalami masalah saraf. Satu-satunya kes ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar kerana Pusat Racun Negara yang berpangkalan di Universiti Sains Malaysia melaporkan 66 panggilan keracunan berkaitan menghisap vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022. Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun dan paling muda 4 bulan.
Dengan kemunculan bukti baharu dan kesihatan rakyat Malaysia dipertaruhkan, kami berasa amat kesal sekali kerana Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 yang begitu penting dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kesihatan (PSSC) untuk kajian lanjut. Tindakan sedemikian secara tidak sengaja akan melambatkan kelulusan Rang Undang-undang itu sekali gus membolehkan lebih ramai kanak-kanak bawah umur menghisap vape atau terdedah kepada keracunan tidak sengaja oleh nikotin. Dalam pada itu, semua penggubal dasar yang bertanggungjawab terhadap akibat buruk itu akan memikul tanggungjawab terhadap mangsa korban EVALI di tangan mereka kerana kegagalan dalam menjalankan tugas mereka.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 22 Jun 2023