PANDANGAN MEREKA YANG MEMPEROLEHI MANFAAT daripada Latihan Kebun Bandar CAP
(Bahagian 1)
BERNARD NEOH
Desa Rahmat, Bukit Jambul, Pulau Pinang
CAP adalah platform yang baik untuk bertukar-tukar pengetahuan. Ia memberi banyak galakan kepada orang seperti saya untuk melakukan usaha berkebun di rumah dan menggunakan hasil semula jadi untuk pengkomposan dan pembajaan.
Semua kakitangan bermurah hati dalam berkongsi pengetahuan dan teknik berkebun, dan keluarga saya benar-benar banyak belajar. Saya pernah menanam banyak sayur-sayuran di balkoni, walaupun hanya dengan balkoni berbentuk bulan sabit biasa.
Saya melakukan penanaman secara menegak selain menggunakan tanaman pasu tradisional. Penanaman menegak benar-benar meningkatkan hasil tuaian saya, kerana ia sangat menjimatkan ruang. Saya menanam sayur-sayuran untuk dua orang, dan selebihnya saya berkongsi dengan ahli keluarga yang lain.
Kumpulan terakhir tomato ceri yang kami tanam memang rangup dan berair. Semua orang merasainya dan mengatakan bahawa ia sangat berbeza daripada apa yang kami dapat dari pasaran.
Di balkoni kecil itu, saya menanam strawberi serta tembikai dan tembikai susu. Walaupun hasil tuaiannya tidaklah besar, ia amat memuaskan. Semua orang boleh berkebun. Satu-satunya perkara yang mereka perlukan adalah semangat.
MONA LIM
Green Garden Estate, Pulau Pinang
Saya belajar mengenai kompos cacing dan memulakan rumah cacing di sekolah saya sebagai projek kebun bandar. Saya juga banyak belajar mengenai cara memulakan kebun dapur, menukar sisa dapur kepada baja organik dan teknik kawalan makhluk perosak semula jadi menggunakan cili, bawang putih, dan lain-lain.
VIMALA SAHADEVAN
Lebuh raya Gelugor, Pulau Pinang
Saya menghadiri ceramah anjuran CAP. Ini membolehkan saya belajar secara langsung daripada petani organik, bagaimana dan mengapa mereka beralih kepada pertanian organik. Di acara sebegini, saya juga bercakap dengan peserta lain, yang berkongsi pengalaman mereka mengenai berkebun di rumah serta bertukar-tukar biji benih.
Kakitangan CAP juga bersedia untuk membantu saya dengan soalan saya mengenai cara menanam sayur-sayuran dan menguruskan makhluk perosak. Saya telah membeli bahan/buku kecil yang diterbitkan CAP dan mendapati ia amat berguna.
CAP juga menjual tanah dan kompos cacing berkualiti baik, yang saya membelinya secara tetap. Sebagai seorang yang cuba menjaga alam sekitar dengan meminimumkan penggunaan plastik, saya membawa bekas atau beg beras sendiri untuk diisi dengan tanah.
Laman sesawang CAP mempunyai banyak artikel yang memberikan jawapan yang saya cari. Membaca cerita pengalaman ahli lain juga memberikan galakan kepada saya dan petua lebih lanjut mengenai cara menjaga tanaman saya sendiri. Tanpa tanah yang subur, tiadalah kehidupan.
Saya terus mencuba untuk menanam sayur-sayuran supaya kita dapat menikmati makanan yang berkhasiat dan bebas daripada racun makhluk perosak.