“AGROEKOLOGI UNTUK SEMUA: Inisiatif di Malaysia” – KEBUN BANDAR

Puan Lim Lay Chu di kebun bandarnya.

PANDANGAN MEREKA YANG MEMPEROLEHI MANFAAT daripada Latihan Kebun Bandar CAP

(Bahagian 2)

PUAN LIM LAY CHU
Island Glades, Gelugor, Pulau Pinang

Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada CAP. Sejak berhubungan dengan CAP, saya belajar banyak perkara baharu mengenai pertanian asli, seperti cara membuat kompos, penggalak pertumbuhan, kompos cacing, penghalau makhluk perosak dan EM petani (FEM).

Sebagai seorang guru, CAP membantu saya menyampaikan pengetahuan kepada murid saya mengenai cara membuat kompos, sistem penyiraman sendiri, melindungi ekosistem dan projek kitar semula. Dari sini, sekolah kami memenangi pertandingan alam sekitar peringkat negeri.

Kini, sebagai seorang pesara, saya melakukan pertanian organik dan mengamalkan apa sahaja yang saya pelajari. Setiap kali  mempunyai masa lapang, saya menghadiri bengkel atau ceramah yang diberikan oleh CAP, seperti projek perkongsian biji benih dan program memasak (dari kebun ke dapur). Saya juga membeli beberapa buku kecil daripada CAP sebagai panduan.

Hajah Julaiha Begum menunjukkan pokok terung putih yang ditanamnya. “Saya belajar untuk menukar sisa dapur kepada kompos, yang menjadi baja untuk tanaman,” katanya.
Hajah Julaiha di kebunnya.

HAJAH JULAIHA BEGUM
Gelugor, Pulau Pinang

Latihan kebun bandar CAP membantu meningkatkan teknik berkebun saya. Membuat campuran pasu yang betul dengan mencampurkan pelbagai jenis tanah benar-benar menarik perhatian memandangkan saya menanam banyak tanaman di dalam pasu.

Saya tidak perlu membelanjakan wang untuk membeli baja kimia kerana saya telah belajar untuk menukar sisa dapur kepada kompos, yang menjadi baja untuk tanaman.

Hajah Julaiha menunjukkan pokok limau nipis.

Sejak berhubungan dengan CAP, saya mula menggunakan bekas plastik terpakai untuk menanam tanaman. Saya turut berkongsi anak benih berlebihan dengan rakan dan jiran. Oleh sebab itu, saya mula menggunakan bekas plastik kecil terpakai untuk semaian anak benih, yang memudahkan saya mengagihkan anak benih.

Saya amat menghargai kerja CAP dalam mendidik orang ramai untuk berkebun, mengadakan latihan, dan menggalakkan orang ramai menanam sayur-sayuran mereka sendiri serta mewujudkan kesedaran untuk menjadi sihat dengan pelbagai cara.

Terima kasih CAP.

Kartina binti Mohamed. Saya mengumpul air dari penghawa dingin rumah untuk menyiram tanaman dan pokok di rumah.

KARTINA BINTI MOHAMED
Bayan Lepas, Pulau Pinang

Saya tertarik untuk memulakan kebun di rumah sejak mengetahui mengenai aktiviti kebun CAP melalui salah satu projek di tempat kerja yang dipanggil BUGS di Butterworth.

CAP  sangat membantu, mudah didekati, dan sentiasa ada untuk membimbing saya apabila ia berkaitan dengan berkebun. Saya ingin berkongsi dengan orang lain bahawa saya mengumpul air dari penghawa dingin rumah untuk menyiram tanaman dan pokok di rumah.

Agroecology Fund