Aktiviti haram ancam pembiakan ikan di perairan negara : CAP

Kekurangan Ikan di Pasaran Bebankan Pengguna.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah aktiviti tangkapan secara haram yang mengancam pembiakan ikan di perairan negara ini.

Masalah yang sudah lama berlaku ini bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan pantai tetapi juga boleh menyebabkan sumber perikanan mengalami kepupusan pada masa akan datang.

Dalam tinjauan yang dibuat, CAP mendapati selain pukat tunda yang menjadi ancaman kepada pembiakan ikan di perairan negara sejak lebih 40 tahun yang lalu, penggunaan pukat rawa sorong, pukat apollo, pukat siput dan bubu naga juga semakin berleluasa ketika ini.

Di Sabah, penggunaan bahan letupan atau bom dalam kalangan nelayan dan penangkap ikan di sini juga telah menyumbang kepada peningkatan kemusnahan benih ikan dan kerosakan batu karang di perairan negeri berkenaan.

Di Pantai Timur pula, pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam yang berterusan sejak sekian lama menyebabkan negara ini mengalami kerugian RM4.25 bilion setiap tahun kerana hasil laut dirompak oleh nelayan bot pukat tunda dari negara itu.

Setiap hari beribu tan benih hidupan laut berbagai spesies musnah akibat penggunaan peralatan tersebut. Sebuah bot pukat tunda misalnya memerangkap dan membunuh lebih 60% anak ikan (benih) yang tidak boleh dimakan dan dipasarkan.

Benih Ikan Musnah Akibat Aktiviti Tangkapan Haram.

Di samping hasil tangkapan dan sumber pendapatan nelayan terutama mereka yang mencari sumber rezeki di persisir pantai merosot melebihi 50 peratus setiap kali turun ke laut, para pengguna turut terbeban dengan peningkatan harga ikan yang melambung di pasaran.

Menurut Jabatan Perikanan, stok ikan di perairan Semenanjung Malaysia berada pada paras kritikal apabila biomass sumber perikanan demersal semasa direkodkan hanya berbaki 4.4 peratus sahaja ketika ini berbanding 60 tahun yang lalu.

Kajian yang dibuat pada tahun 2016 itu mendapati stok ikan demersal seperti spesies gelama, kerisi, lolong bara, udang dan sotong semakin menyusut daripada 473,345 tan metrik kepada 21,002 tan metrik.

Walau pun masalah ini sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak kerajaan bagi mengatasinya. Bot pukat tunda terus menceroboh zon tangkapan nelayan pantai dan semakin banyak alat tangkapan yang diharamkan digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sejak 1980-an CAP telah menyuarakan bantahan dan mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak kerajaan mengenai perkara ini termasuk menguatkuasakan undang-undang dengan tegas dan mengharamkan penggunaan pukat tunda bagi mengawal sumber perikanan dari terus diancam kepupusan.

CAP menggesa MAFI, Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan yang semakin meruncing berlaku dalam sektor perikanan ketika ini.

Penggunaan Bubu Naga Semakin Berleluasa di Perairan Negara. Ini Gambar Sinar Harian.

CAP percaya dan bimbang jika masalah ini berterusan sumber laut negara ini hanya mampu bertahan kurang 30 tahun saja lagi.

Di samping menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan, gesaan CAP serta nelayan pantai sebelum ini supaya penggunaan pukat tunda diharamkan perlu diberi perhatian serius dan disegerakan.

Beberapa buah negara seperti Hong Kong, Indonesia, Palau, Belize dan Jepun telah mengharamkan penggunaan pukat tunda di negara mereka.

CAP menyokong keputusan negara-negara tersebut dan tindakan tegas kerajaan Indonesia membakar serta memusnahkan bot pukat tunda yang menceroboh perairan negara itu. Langkah sedemikian wajar diikuti oleh kerajaan Malaysia bagi mengawal dan menjamin sumber bekalan makanan yang mencukupi pada masa akan datang.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media,  29 September 2022