Penduduk Bukit Gelugor ingin menyuarakan bantahan berhubung pembinaan menara pemancar telekomunikasi 5G di kawasan perumahan mereka serta kebimbangan mengenai isu keselamatan dan kesihatan penduduk Bukit Gelugor.
Pembinaan Menara Pemancar Telekomunikasi 5G Tanpa Berunding Dengan Penduduk
Kami mendapat tahu bahawa pihak berkuasa tempatan telah diberikan kelulusan bagi membina menara pemancar telekomunikasi mudah alih di perkarangan Surau Bukit Gelugor. Penduduk amat terkejut dengan keputusan untuk membina menara pemancar telekomunikasi 5G di tengah-tengah Bukit Gelugor tanpa perbincangan terlebih dahulu dan perjanjian dengan komuniti yang terjejas secara langsung.
Surat bantahan juga telah dihantar kepada pihak berkuasa berkaitan (Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Pejabat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Wakaf Pulau Pinang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Masjid Taqwa, ADUN Seri Delima dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk menarik perhatian mengenai perkara ini.
Penduduk tidak diberikan sebarang notis sepertimana yang diperlukan oleh undang-undang mengenai pembinaan menara pemancar telekomunikasi 5G.
Kami difahamkan bahawa terdapat percanggahan dalam surat kelulusan yang dihantar kepada MCMC, CAAM, Wakaf Pulau Pinang, TNB, Bomba dan MBPP. Kelulusan yang diminta oleh kontraktor kepada pihak berkuasa tempatan adalah meragukan dan mengelirukan. Beberapa percanggahan termasuklah mendakwa terdapat menara sedia ada (yang hanya dibina dua hari sebelum Sidang Media ini) dan menara pemancar telekomunikasi 3 meter akan ditambah di atasnya. Adalah difahamkan bahawa MBPP hanya memberikan kelulusan bagi ‘Cadangan Tambahan Ubahsuai Sebuah Surau’ dengan tidak menyatakan pembinaan menara pemancar telekomunikasi. Penduduk tidak membantah pembinaan menara di surau. Walau bagaimanapun, tambahan 3 meter pemancar gelombang 5G ‘Wall Mounted Boom’ itu yang dibantah.
Bagaimanapun kerja-kerja itu sedang berjalan dan projek itu dijalankan dengan tergesa-gesa sehingga separuh siap selepas penduduk mula menyuarakan aduan mereka. Semasa pembinaan dijalankan tiada papan tanda didirikan sepertimana yang ditetapkan oleh pihak majlis untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai projek itu, terdapat juga kebimbangan mengenai asas struktur dan keselamatan oleh jurutera dan arkitek dalam komuniti.
Kebimbangan Kesihatan dan Keselamatan
Sementara kami mengalu-alukan pembangunan dan kemajuan tetapi ia bukanlah menjadi beban bahaya daripada infrastruktur ini yang terpaksa ditanggung oleh komuniti. Berdasarkan kajian yang diterima pada peringkat global, tidak terdapat 100% jaminan terhadap keselamatan daripada bahaya pemancar telekomunikasi dalam komuniti.
Sebenarnya, terdapat bukti yang semakin bertambah bahawa mereka yang berada dalam lingkungan 500 meter daripada pemancar telekomunikasi berkemungkinan mengalami kesan kesihatan jangka panjang dan alam sekitar semula jadi di sekelilingnya juga akan melihat kesannya. Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan mengenai Kanser (IARC) memang memperimbangkan gelombang RF secara umumnya sebagai berpotensi karsinogenik.
Menara pemancar itu kini semakin bercambah di kawasan sekolah, rumah ibadat dan kawasan awam lain menjadi isu yang membimbangkan yang perlu ditangani.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab memberikan khidmat kepada rakyat, kami meminta agar kelulusan untuk membina menara pemancar telekomunikasi di tengah-tengah komuniti dipertimbangkan semula. Kami meminta agar perintah berhenti dan pertemuan untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera bersama komuniti yang akan terjejas.
Bagi pihak Penduduk Bukit Gelugor
Hamdullah Bin Mohammed Farouk
Kenyataan Akhbar, 23 Oktober 2023