Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati Belanjawan Negara 2027 memberi manfaat yang meluas kepada sebahagian besar penduduk. Walau bagaimanapun, kami masih berasa bimbang mengenai kos subsidi bahan api Malaysia yang berjumlah RM40 bilion, memandangkan ia terus bergantung kepada iklim geopolitik global dan harga minyak yang kekal dalam lingkungan paras yang diperuntukkan.
Tambahan pula, subsidi petrol sepatutnya disasarkan secara khusus, memandangkan subsidi pukal memberi manfaat kepada semua pihak termasuk mereka yang tidak memerlukan bantuan kerajaan, ia membebankan kerajaan dengan beban fiskal yang besar. Sebarang penjimatan hasil daripada mekanisme subsidi yang lebih bersasar boleh disalurkan semula untuk subsidi barangan keperluan asas dan perkhidmatan.
Walaupun kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan gaji minimum Malaysia daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, kami berpendapat bahawa kerajaan harus berusaha untuk melaksanakan konsep gaji kehidupan bermaruah (living wage). Menurut Bank Negara Malaysia, gaji kehidupan bermaruah atau wajar ialah tahap pendapatan yang diperlukan oleh pekerja atau isi rumah untuk mencapai taraf hidup minimum yang wajar, dan bukan sekadar memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup. Negara dengan rangka kerja gaji kehidupan wajar yang mantap ialah United Kingdom, New Zealand dan Kanada. Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui gaji kehidupan wajar sebagai satu kaedah penting untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan, memupuk ekonomi yang lebih adil dan mampan, serta mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan dan institusi.
Pada masa ini, kebimbangan bahawa kenaikan gaji minimum akan melonjakkan harga barangan dan perkhidmatan mungkin agak keterlaluan, asalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan langkah tegas terhadap amalan pencatutan. Walaupun tanpa kenaikan gaji minimum, kos sara hidup terus meningkat, sebahagian besarnya disebabkan oleh tekanan inflasi global. Akibatnya, ramai pekerja mendapati kenaikan gaji tahunan mereka tidak sepadan dengan kadar inflasi, sekali gus menyebabkan kuasa beli mereka merosot secara beransur-ansur.
CAP berasa bimbang dengan peruntukan Kementerian Kesihatan bagi 2027, iaitu RM47.7 bilion, mencerminkan peningkatan hanya 2.5% berbanding 2026. Pada masa Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kesihatan awam yang semakin meningkat, daripada penyakit tidak berjangkit dan kemudaratan akibat tembakau hinggalah kepada masalah jerebu dan penyakit berkaitan iklim, pertumbuhan peruntukan yang terhad ini berisiko menjejaskan program pencegahan penyakit, membebankan kapasiti hospital, serta melemahkan usaha untuk meningkatkan akses dan ekuiti. Kami menggesa kerajaan supaya memelihara dan memperkukuh peruntukan kesihatan, memandangkan pelaburan dalam kesihatan awam adalah penting untuk melindungi nyawa dan mengurangkan kos jangka panjang.
CAP menegaskan bahawa sektor pertanian dan keterjaminan makanan mestilah kekal sebagai keutamaan dalam Belanjawan 2027, memandangkan Malaysia sedang bergelut dengan peningkatan kos pengeluaran, tekanan iklim yang semakin hebat, dan pergantungan yang keterlaluan terhadap import. Peruntukan belanjawan mestilah disalurkan untuk mempromosikan agroekologi, menyokong rizab benih komuniti, memperkasakan pekebun kecil, dan membina daya tahan dalam sistem makanan tempatan bagi memastikan bekalan makanan yang mampu milik, selamat, dan mencukupi untuk semua.
Kami menyambut baik peruntukan RM65 juta bagi 2,500 renjer komuniti yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli, veteran tentera, dan pesara polis untuk memperkukuh perlindungan hidupan liar. Kawasan hutan yang dilindungi di Malaysia sangat luas, dan penambahan bilangan renjer akan meningkatkan pemantauan serta keupayaan mengesan pemburu haram, pembalak haram, pelombong haram, dan penceroboh hutan. Pengesanan awal dan tindakan segera adalah penting bagi mencegah jenayah terhadap hidupan liar sebelum berlakunya kemusnahan besar yang tidak dapat dipulihkan.
Rang Undang-undang e-dagang yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang merupakan langkah yang dialu-alukan untuk memperkukuh akauntabiliti dalam kalangan platform dalam talian dan penjual. Ia seharusnya memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna, khususnya terhadap produk yang berkualiti rendah, tiruan, dan tidak selamat. Ini kekal sebagai antara masalah utama yang dihadapi oleh pengguna semasa membeli-belah secara dalam talian.
Cadangan untuk membina 15 tempat berteduh motosikal di sepanjang lebuh raya PLUS adalah satu langkah yang wajar dipuji. Kami menggesa agar langkah berjaga-jaga diambil bagi memastikan tempat berteduh ini ditempatkan di kawasan yang selamat dan jauh daripada laluan utama kenderaan. Beberapa kemalangan maut telah berlaku apabila kenderaan hilang kawalan semasa hujan lebat lalu merempuh penunggang motosikal yang sedang berteduh di bawah jambatan dan jejambat. Pemilihan lokasi tempat berteduh yang sesuai adalah amat penting bagi mengelakkan tragedi seumpama itu.
Pengumuman bahawa individu berusia 55 tahun ke bawah yang menyertai pelan insurans perubatan Medi-Asas dibenarkan membayar premium menggunakan dana daripada simpanan Akaun Sejahtera mereka menimbulkan kebimbangan, memandangkan hanya 64% ahli aktif KWSP telah mencapai tahap simpanan asas sebanyak RM240,000 menjelang usia 55 tahun. Malah jumlah ini pun sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan persaraan yang selesa, dan keadaan mungkin menjadi lebih buruk sekiranya sebahagian daripada simpanan ini dipindahkan ke Akaun Sejahtera dan digunakan untuk membayar premium insurans.
Kerajaan juga perlu menggalakkan pesawah untuk mengamalkan penternakan itik secara bersepadu seperti yang telah berjaya dilaksanakan di Jepun, Bangladesh, Filipina dan banyak lagi kawasan di Asia bagi membantu mengawal populasi siput gondang emas dan makhluk perosak lain di sawah padi, dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada racun perosak kimia. Pada masa yang sama, pesawah yang menternak itik boleh mempelbagaikan sumber mata pencarian serta menjana pendapatan tambahan melalui penjualan itik dan telur.
CAP menyambut baik keputusan kerajaan untuk mewajibkan penggunaan sistem telematik pada kenderaan berat, memandangkan kenderaan jenis ini sering terlibat dalam kemalangan jalan raya yang serius dan membawa maut. Langkah ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati bahawa kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat telah meragut sekurang-kurangnya 1,457 nyawa dalam tempoh enam tahun. Kajian yang sama turut mendedahkan bahawa hanya 32% pengendali pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan mematuhi Kod Amalan Industri bagi Keselamatan Pengangkutan (ICOP) pada 2022, sekali gus menegaskan keperluan mendesak untuk penguatkuasaan yang lebih tegas.
Kami juga memuji inisiatif untuk menyediakan pengangkutan awam percuma bagi pelajar sekolah, golongan orang kurang upaya, dan kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Selain meringankan beban kewangan ibu bapa, dasar ini akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas serta meningkatkan mobiliti dan akses kepada pendidikan.
Akhir sekali, pemantauan berterusan terhadap perbelanjaan bagi semua peruntukan belanjawan adalah penting bagi mencegah ketirisan, rasuah, amalan pembaziran atau perbelanjaan berlebihan yang tidak wajar dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 12 Oktober 2026


