BERHATI-HATI DENGAN PENIPUAN “KOD QR” DAN “MATA GANJARAN”

Gambar: AFP Relaxnews

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan 2 taktik penipuan yang kini digunakan untuk mencuri wang daripada akaun bank.

PENIPUAN KOD QR

Berhati-hati dengan apa-apa sahaja yang mendakwa mahu memberikan ganjaran kepada anda. Ia mungkin satu penipuan.

Dalam penipuan memancing data kod QR baharu yang kini semakin meluas, penipu akan mengedarkan hadiah (contoh: botol air) dengan kod QR tercetak padanya. Anda diberitahu bahawa mengimbas kod ini akan memberikan ganjaran kepada anda baucar tunai bernilai RM200. Apabila diimbas, kod QR membenarkan penipu mengosongkan akaun bank anda.

Maxis meletakkan notis pada laman sesawang memberi amaran mengewnai penipuan “mata ganjaran”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Persekutuan (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberi amaran mengenai perkara itu dalam sidang media baru-baru ini.

MESEJ TEKS PENIPUAN “MATA GANJARAN”

Satu lagi penipuan yang muncul semula ialah taktik menghantar mesej teks yang mendakwa dari syarikat telekomunikasi. Mangsa melaporkan telah menerima mesej teks kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal seperti Maxis, Celcom, dan Digi.

“Kandungan mesej teks ini memberitahu mangsa bahawa mata ganjaran mereka akan tamat tempoh dan menggesa mereka untuk segera menebus mata ganjaran ini melalui pautan yang disediakan. Selepas mengklik pautan, mangsa digesa untuk memasukkan maklumat perbankan dalam talian, termasuk nombor kata laluan satu kali (OTP) yang diterima. Selepas itu, mangsa mendapati pengurangan dana daripada akaun bank mereka,” dedah Ramli (NST, 20.4.24).

Jangan sekali-kali bertukar maklumat perbankan atau nombor kata laluan satu kali dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali. Sahkan mesej yang mencurigakan dengan syarikat telekomunikasi yang berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan.