Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa amat terkejut kerana tidak dapat menemui sarang lebah di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, dengan ramai pemelihara lebah tradisional mengakui bahawa koloni lebah semakin berkurangan di Malaysia.
Ini adalah kerana sebahagian besarnya lebah telah kehilangan sumber makanan yang diperlukan untuk terus hidup.
Adalah satu fakta yang menyedihkan bahawa lebah yang kita samakan dengan kerja yang cekap atau sibuk, secara beransur-ansur semakin lenyap.
CAP mendapati racun makhluk perosak, baja sintetik, tanaman yang diubah suai secara genetik dan perubahan iklim adalah punca utama kepupusan lebah.
Antara sebab yang lain ialah cara tanah kita dibangunkan, yang menyebabkan kerugian besar kepada habitat mesra pendebunga ini.
Dikatakan bahawa jika semua lebah dimusnahkan di planet ini, manusia tidak akan mempunyai lebih daripada 4 tahun lagi untuk hidup.
Ini kerana lebah memainkan peranan penting dalam pendebungaan tumbuhan. Tanpa lebah, tumbuhan tidak akan menghasilkan buah.
Kepentingan lebah tidak boleh dinafikan kerana lebah bertanggungjawab bagi 80% daripada bekalan makanan dunia. Tujuh puluh daripada 100 tanaman teratas yang digunakan oleh manusia, yang membekalkan sehingga 90% daripada pemakanan dunia, didebungakan oleh lebah.
Lebah kini berada dalam senarai “spesies terancam” dan dianggarkan kemusnahan lebah meningkat sebanyak 42%.
Punca bagi bencana lebah ini ialah lebah pekerja yang keluar mengumpul makanan hilang beramai-ramai.
Terdapat banyak sebab mengapa lebah pekerja sesat seperti ini.
Sebab utama ialah bahan kimia dalam racun makhluk perosak dan baja tiruan yang boleh menjejaskan sistem saraf lebah dan menumpulkan ingatannya. Akibatnya, jalan pulang ke sarang terlupa dan ia terbang pergi dan mati.
Tidak mengapa jika kita tidak meraikan hari untuk lebah, yang memainkan peranan utama dalam pengeluaran makanan dalam kehidupan kita, tetapi jangan kita melakukan apa-apa yang memusnahkannya.
Antara cara kita boleh membantu memterbalikkan keadaan ini dan mencegah kepupusan lebah ialah:
> Mempunyai lebih banyak ladang organik, kerana ladang organik cenderung menyokong kepelbagaian biologi yang lebih tinggi dan kesihatan lebah yang lebih baik.
> Tanam beberapa tanaman makanan anda sendiri tanpa menggunakan racun makhluk perosak dan baja sintetik. Sayuran berbunga, buah-buahan dan herba dapat menarik lebah.
Penurunan drastik populasi lebah madu merupakan krisis yang sedang dirasai di seluruh dunia. Pendebunga terhebat kami menghadapi masalah. Sejak pengenalan racun perosak yang mengandungi neonicotinoid, kehilangan lebah madu telah mencapai rekod tertinggi. Ini membimbangkan kerana, tanpa pendebungaan lebah madu, manusia tidak akan wujud lagi.
N. V. Subbarow
Pegawai Pendidikan Kanan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 19 Mei 2024