CAP dan SAM Mengemukakan  Memorandum Menuntut Peralihan kepada Sisa Sifar dan Membantah Cadangan Insinerator Sisa-Kepada-Tenaga

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah bersama-sama menyerahkan memorandum bertajuk “Malaysia Mesti Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Bantahan Loji Insinerator Sisa-kepada-Tenaga” kepada Perdana Menteri, Kementerian serta agensi yang berkaitan pada 14 Ogos 2024. Memorandum tersebut menggesa pembatalan cadangan projek pembakaran sisa-kepada-tenaga (waste-to-energy: WTE) di Malaysia dan menyeru peralihan kepada Sisa Sifar (Zero Waste).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan rancangan untuk membina 18 loji WTE di Malaysia menjelang 2040. Laporan Bernama bertarikh 1 Julai 2024 memetik Menteri KPKT Nga Kor Ming bahawa 18 cadangan loji WTE akan dibina di lokasi-lokasi berikut iaitu Kedah (Jabi dan Padang Cina); Johor (Bukit Payung, Seelong dan Sedili); Pahang (Jabor-Jerangau dan Belenggu); Melaka (Sungai Udang); Kuala Lumpur (Rawang); Selangor (Jeram, Tanjung 12 dan Rawang 2); Pulau Pinang (Pulau Burung); Perak (Lahat, Taiping dan Manjung), Terengganu (Tertak Batu) dan Kelantan (Jedok). Kami menentang sekeras-keranyanya cadangan pembinaan loji-loji WTE ini.

Memorandum yang dikemukakan oleh CAP dan SAM menggariskan kesan alam sekitar, ekonomi dan kesihatan loji WTE yang tidak dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan Malaysia.  Secara ringkas, keburukan insinerasi WTE yang diketengahkan ialah:

1. Sisa Bukan Tenaga Boleh Diperbaharui: Sisa perbandaran tidak boleh diperbaharui memandangkan ianya terdiri daripada kertas, plastik dan kaca, antara lain. Insinerator membakar bahan berharga yang boleh dikitar semula atau dikompos, serta bersaing dengan program guna semula dan isi semula.

2. Mengalihkan Pelaburan daripada Penyelesaian Sebenar: Lebih 90% bahan yang diinsinerasi boleh diguna semula, dikitar semula atau dikompos. Insinerasi tidak menggalakkan pemuliharaan sumber, akan melepaskan bahan kimia toksik, dan mengagihkan dana daripada penyelesaian sifar sisa.

3. Menggunakan Lebih Banyak Tenaga daripada yang Dihasilkan: Insinerator WTE menukar kurang daripada 25% tenaga dalam sisa kepada elektrik, menjadikannya tidak cekap dan mahal. Ia memerlukan pelaburan yang besar, memberi kesan negatif kepada ekonomi tempatan tanpa menyumbang dengan ketara kepada grid tenaga.

4. Pelepasan Toksik dan Risiko Kesihatan: Pelepasan dari insinerator WTE termasuk bahan pencemar penyebab barah iaitu dioksin dan furan, merkuri, partikel halus, dan bahan toksik lain yang menimbulkan risiko kesihatan yang ketara dan pencemaran alam sekitar.

5. Penyumbang Perubahan Iklim: Insinerator WTE melepaskan gas rumah hijau, mengganggu kitaran karbon semula jadi dan memburukkan lagi perubahan iklim dengan menggalakkan amalan pelupusan sisa yang tidak mampan.

6. Kehilangan Pekerjaan: Insinerator menyediakan lagi kurang pekerjaan berbanding pilihan pengurusan sisa yang lain seperti pengomposan dan kitar semula. Ia mengambil peluang pekerjaan daripada pekerja sisa informal dan pengitar semula.

7. Tidak Serasi dengan Ekonomi Kitaran: Insinerator pada asasnya tidak serasi dengan ekonomi kitaran yang mampan. Ia mengubah sisa menjadi abu berbahaya, meningkatkan ketoksikan dan menimbulkan isu pelupusannya, dan bukannya menghapuskan sisa.

Beberapa cadangan untuk menangani cabaran pengurusan sisa yang semakin meningkat, selain bergantung kepada insinerator WTE, yang dicadangkan dalam memorandum adalah:

1. Pendekatan Sisa Sifar telah terbukti berkesan dalam memastikan kecekapan, pemulihan dan perlindungan sumber. Matlamatnya adalah untuk menamatkan pelupusan sisa. Rancangan ini merangkumi pengurangan sisa, pengomposan, kitar semula, guna semula, perubahan dalam tabiat penggunaan dan reka bentuk semula.

2. Pengkomposan sisa organik seperti sisa makanan, sisa kebun dan sisa pertanian akan mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sehingga 50%, mengurangkan kos pengangkutan dan mengurangkan pelepasan karbon.

3. Menambah baik Infrastruktur Pengumpulan dan Pengasingan Sisa Pengasingan sisa yang lebih baik dan cekap dapat meningkatkan kadar pemulihan dan mengurangkan pencemaran, manakala tong kitar semula dengan rekabentuk yang lebih baik dan pengumpulan sisa kitar semula yang lebih kerap dapat meningkatkan penyertaan penjana sisa.

4. Menyokong Amalan Ekonomi Kitaran seperti pengurangan, penggunaan semula, pembaikan, dan kitar semula produk boleh memanjangkan kitaran hayat produk, menjimatkan sumber, dan mengurangkan penjanaan sisa. Penglibatan perniagaan tempatan dalam rangkaian ekonomi kitaran menggalakkan perkongsian sumber dan kerjasama, mempromosikan ekonomi tempatan yang lebih mampan.

5. Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (Extended Producer Responsibility: EPR) Mandatori akan memastikan pengeluar bertanggungjawab terhadap pengurusan kitaran hayat produk, menggalakkan reka bentuk yang lebih mudah dan selamat untuk dikitar semula, serta mengurangkan kesan alam sekitar.

6. Melaksanakan Program Pengumpulan Sisa Elektronik dan Kitar Semula penting bagi menguruskan peranti elektronik yang dibuang dan meminimumkan kesan alam sekitar daripadanya.

7. Sistem Pembayaran Balik Deposit boleh dilaksanakan untuk mempromosikan kitar semula, menggalakkan penyertaan orang awam, dan mengurangkan pencemaran alam sekitar

8. Melaksanakan Program Guna Semula dan Isi Semula. Pendirian stesen isi semula di kawasan awam dan kedai runcit akan memudahkan orang ramai untuk melaksanakan amalan mampan dalam kehidupan seharian mereka.

Kesimpulannya, walaupun insinerator WTE dipasarkan sebagai penyelesaian kepada krisis pengurusan sisa, insinerator tersebut hanya mengubah sisa kepada produk sampingan yang lebih berbahaya tanpa menangani masalah teras sisa. CAP dan SAM berpendapat bahawa insinerator WTE adalah penyelesaian palsu dan kami mengesyorkan agar kerajaan memberikan tumpuan kepada pendekatan Sisa Sifar yang efektif dari segi kos, lebih selamat, dapat menjana pekerjaan, melindungi alam sekitar dan menyumbang kepada komuniti yang berdaya tahan dan mampan.

Baca memorandum di sini:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/08/2024-CAP-Memorandum-on-Waste-to-Energy-Incineration_BM.pdf