
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menguji produk Coca-Cola di Malaysia bagi pencemaran klorat. Sehingga keputusan tersedia, KKM perlu menangguhkan penjualan produk ini. Pada masa ini Coca-Cola Malaysia mengeluarkan, memasarkan, dan mengedarkan lebih 80 produk.
Gesaan ini dibuat sebagai tindak balas kepada penarikan balik Coca-Cola di Eropah lanjutan daripada penemuan paras klorat yang tinggi. Klorat, produk sampingan pembersih klorin yang digunakan dalam rawatan air, boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti kekurangan iodin, disfungsi tiroid dan pengurangan jumlah sel darah merah, terutamanya pada bayi, kanak-kanak dan wanita hamil.
Selain daripada pencemaran klorat, minuman manis menimbulkan risiko kesihatan yang ketara, menyumbang kepada obesiti, diabetes jenis 2 dan kerosakan gigi. Malaysia mempunyai salah satu daripada kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara, dengan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan bahawa 54.4% orang dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes yang meningkat daripada 44.5% pada tahun 2011. Lebih membimbangkan, 29.8% kanak-kanak (berumur 5-17 tahun) mengalami berat badan berlebihan (15.0%) atau obes (14.8%).
Obesiti dikaitkan dengan lebih 200 penyakit kronik, termasuk penyakit kardiovaskular, diabetes, gangguan muskuloskeletal dan kanser. Ia juga meningkatkan risiko diabetes jenis 2 sebanyak tujuh kali ganda pada lelaki dan dua belas kali ganda pada wanita.
Berdasarkan penarikan balik di Eropah, CAP menggesa KKM untuk:
- Menguji produk Coca-Cola di Malaysia bagi pencemaran klorat.
- Penarikan balik produk Coca-Cola yang terjejas daripada pasaran.
Sementara itu, pengguna digesa untuk mengelakkan minuman manis, kerana ia lebih mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 8 Februari 2025

