Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan menyiasat serta mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang disyaki membuang sampah di Pulau Jerejak di sini.
CAP kesal walau pun kejadian itu pernah dikesan berlaku pada tahun 2021 namun masalah tersebut berulang lagi. Sampah dan sisa plastik bukan saja dilonggok di kawasan pantai dan pulau berkenaan tetapi juga dibakar secara terbuka.
CAP bimbang dengan masalah ini dan jika berterusan ia boleh merebak dan mencemarkan perairan serta dasar laut sekali gus mengancam sumber perikanan dan kehidupan nelayan pantai yang mencari rezeki di kawasan itu.
Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 perlu dikuatkuasakan dengan tegas oleh MBPP dan JAS, manakala Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diminta supaya mengenakan syarat dan peraturan yang ketat ke atas pengusaha ternakan ikan dalam sangkar berhampiran pulau tersebut.
Selain itu CAP juga menggesa supaya siasatan dan kajian secara menyeluruh dilakukan oleh pihak berkenaan mengenai tahap dan kesan bahan buangan seperti plastik dan sisa makanan ikan ternakan di dasar laut berhampiran Pulau Jerejak dan kawasan- kawasan berdekatan.
CAP percaya jika masalah ini tidak ditangani segera, ia bukan saja boleh mengancam alam sekitar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang tetapi juga menjejaskan hutan semula jadi, pembiakan hidupan laut, aktiviti dan sumber pendapatan nelayan pantai serta bekalan makanan untuk pengguna.
CAP berharap kerajaan Pulau Pinang, jabatan dan agensi yang terlibat mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil mengenai masalah ini kepada orang ramai dengan segera.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 28 Julai 2023