CAP GESA PROJEK PERUMAHAN UNTUK NELAYAN KUALA JURU DILAKSANAKAN SEGERA

Penduduk Kampung Kuala Juru menuntut rumah kediaman dan membantah projek ternakan udang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan segera projek perumahan untuk nelayan di Kampung Kuala Juru Daerah Seberang Perai di sini yang telah tertangguh sejak 30 tahun yang lalu.

CAP kesal walau pun rancangan pembinaan projek  itu telah lama diluluskan, namun hingga sekarang nelayan-nelayan di sini yang memerlukan rumah sendiri terutama mereka yang sudah berkahwin dan berkeluarga masih menunggu bagi mendapatkannya.

Baru-baru ini penduduk-penduduk Kampung Kuala Juru terkejut apabila sebuah syarikat memasuki dan membersihkan kawasan seluas 27 ekar di lot 1508 yang diluluskan kepada mereka untuk menjalankan aktiviti ternakan udang.

Mereka membantah dan tertanya-tanya pihak manakah yang membenarkan kawasan itu diteroka oleh syarikat terbabit kerana tanah tersebut telah diluluskan untuk membina 200 buah rumah untuk nelayan di sini.

Kawasan rancangan projek perumahan untuk nelayan Kampung Kuala Juru.

Justeru itu CAP meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makananan, Kerajaan Pulau Pinang, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pihak Berkuasa Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan serta agensi yang terlibat menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.

CAP menegaskan bahawa nelayan-nelayan Kampung Kuala Juru yang sudah berkahwin dan berkeluarga berhak mendapatkan keperluan asas tersebut dan projek perumahan di sini perlu dilaksanakan segera untuk mereka.

CAP turut membantah bersama penduduk-penduduk kampung ini jika kawasan yang telah diluluskan untuk tersebut dijadikan tapak projek ternakan udang kerana ia bukan saja melanggar keputusan pihak berkenaan dengan penduduk-penduduk di sini tetapi juga akan mengancam alam sekitar dan kawasan ternakan kerang seluas 100 ekar dilaut berhampiran.

CAP percaya jika berlaku pencemaran sisa buangan dari kolam ternakan udang, kerang yang diternak oleh nelayan-nelayan di sini mungkin mati dan mereka akan mengalami kerugian besar serta terputus mata pencarian untuk menyara kehidupan keluarga.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 11 September 2023