CARA MUDAH KAWAL SELERA MAKAN

Adakah anda makan dengan gelojoh? Makan dengan cepat boleh menyebabkan pengambilan makanan secara berlebihan dan obesiti serta penghadaman yang lemah. Makanlah dengan  perlahan-lahan untuk mengawal selera makan: Apabila anda makan, ia mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum anda mula berasa kenyang. Cuba makan dengan lebih perlahan dan penuh perhatian.

Satu kajian yang dibentangkan pada mesyuarat Persatuan Amerika Utara bagi Kajian Obesiti (NAASO) menunjukkan bahawa lelaki dan wanita yang mempunyai berat tubuh berlebihan mengambil lebih sedikit kalori apabila mereka memperlahankan kadar makan biasa mereka. Kajian di Jepun pula yang melibatkan 1,700 wanita muda menyimpulkan bahawa makan dengan lebih perlahan menyebabkan rasa kenyang lebih cepat, dan dengan itu makan lebih sedikit kalori pada waktu makan.

Dengan makan lebih perlahan, menikmati hidangan juga lebih menyeronokkan. Kadar makan yang lebih perlahan membawa kepada kerehatan, mengurangkan tahap tekanan. Makan dan mengunyah secara perlahan juga menghasilkan lebih banyak air liur yang mencuci sisa makanan yang tertinggal pada gigi yang sebaliknya akan mengundang bakteria, sekali gus menjadikan gigi yang lebih sihat.

Makanlah dengan perlahan-lahan dan penuh perhatian.