Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan terhadap tujuh kesalahan trafik yang tidak boleh dikompaun sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini. Ini bermakna mereka yang didapati melanggarnya tidak akan ditawarkan denda tetapi akan dirujuk terus ke mahkamah. Langkah-langkah seperti ini tidak seharusnya dihadkan pada masa perayaan sahaja tetapi dilaksanakan sepanjang tahun.
Tujuh kesalahan trafik utama ialah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, dan memandu di lorong kecemasan.
Kami berharap agar dengan pelaksanaan ini ia akan menjadi pencegahan yang berkesan kepada pelanggaran jalan raya di negara ini dan mengurangkan jumlah kemalangan serta kematian.
Perangkaan yang dikeluarkan oleh pihak polis mendedahkan bahawa sejumlah 402,626 kemalangan jalan raya direkodkan di Malaysia dari Januari hingga September pada tahun 2022, mengakibatkan 4,379 kematian. Ini adalah peningkatan daripada 255,532 kemalangan jalan raya daripada tempoh yang sama pada 2021, di mana 3,324 kematian direkodkan.
Angka untuk sembilan bulan pertama 2022 mewakili peningkatan 58% (atau 147,094) dalam kes kemalangan berbanding 2021, manakala jumlah kematian meningkat hampir 32% (atau 1,055 kematian). Tiada pecahan perangkaan mengikut negeri dan kenderaan yang terlibat dalam data itu, yang dinyatakan dalam satu kenyataan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kadar kematian pengguna jalan raya yang tinggi di negara ini amat membimbangkan dan menyebabkan Kerajaan perlu bertindak pantas dan tanpa sebarang kompromi.
Kerajaan juga perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat sebab sebenar peningkatan jumlah kemalangan jalan raya dan kematian di jalan raya Malaysia pada setiap hari.
Banyak faktor telah dikenal pasti sebagai kemungkinan penyebab kepada senario yang amat menyedihkan ini, yang paling biasa ialah “faktor manusia”, sebagai contoh pemanduan melulu. Kualiti jalan raya kita yang kurang baik juga merupakan satu lagi faktor penyumbang.
Suruhanjaya Siasatan Diraja yang digesa oleh CAP juga perlu melihat kepada cara-cara bagaimana pihak Kerajaan boleh menambah baik sistem pengangkutan awam semasa yang berada dalam keadaan yang teruk.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 20 Januari 2023