CAP: UNDANG-UNDANG TANDA HARGA MESTI DIKUATKUASAKAN

Gambar melalui The Star

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menguatkuasakan Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8(1), yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan yang bertujuan bagi dijual. Tinjauan CAP di seluruh Pulau Pinang, mendedahkan ketidakpatuhan yang meluas terhadap keperluan ini dalam kalangan pelbagai jenis penjual termasuk gerai makanan, pasar basah, pasar malam, restoran dan kedai runcit.

Kesalahan utama yang dikenal pasti ialah gerai yang menjual makanan dan minuman tanpa sebarang tanda harga yang boleh dilihat. Diikuti dengan restoran yang sama ada tidak mengemas kini harga mereka atau memberikan maklumat yang mengelirukan kepada pengguna. Ketiadaan tanda harga yang telus ini sering menyebabkan pengguna dikenakan bayaran berlebihan, kerana mereka tidak mempunyai senarai harga yang didokumenkan untuk dirujuk apabila berlaku pertikaian berhubung bil mereka.

Tambahan pula, kenaikan harga diesel baru-baru ini berpotensi membawa kepada kos makanan yang lebih tinggi, menjadikannya lebih penting bagi pengguna untuk dimaklumkan mengenai harga lebih awal. Di bawah Akta Kawalan Harga, adalah menjadi tanggungjawab penjual untuk memastikan pembeli dimaklumkan mengenai harga, tetapi penguatkuasaan yang tidak mencukupi, menjejaskan keberkesanan pelaksanaan undang-undang.

Oleh sebab itu, kami menggesa agar pihak Kementerian mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973. Kami juga menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat dan pendakwaan terhadap semua pesalah demi menjaga hak pengguna dan memastikan amalan perdagangan yang adil.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 18 Jun 2024