Data yang diterbitkan baru-baru ini dari tiga belas negara termasuk Malaysia mengenal pasti hampir 500 bahan kimia dalam pelet plastik kitar semula, termasuk racun perosak, bahan kimia industri, PCB dan bahan toksik lain. Dalam pelet dari Malaysia, sebanyak 123 bahan kimia dikesan dalam dua sampel yang dianalisis. Data ini amat relevan sekarang untuk makluman delegasi dari Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam rundingan Perjanjian Plastik Global di Ottawa, Kanada pada akhir bulan ini.
Sebagai ahli International Pollutants Elimination Network (IPEN) yang merupakan suatu rangkaian global kumpulan berkepentingan awam yang berjuang untuk masa depan bebas toksik, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengumpul plastik kitar semula (dipanggil pelet plastik) dan menghantarnya untuk analisa kandungan bahan kimia toksik. Ujian itu telah dijalankan oleh sekumpulan saintis di Sweden, Jerman dan Denmark dan data tersebut telah diterbitkan baru-baru ini.
Dalam sampel pertama dari Malaysia, sebanyak 107 bahan kimia telah dikesan manakala dalam sampel kedua sebanyak 111 bahan kimia telah dikesan. Sejumlah 95 bahan kimia ini terdapat dalam kedua-dua sampel. Daripada 30 bahan kimia yang dikesan pada kepekatan tertinggi, separuh adalah kesan dari peringkat pengeluaran pelbagai jenis plastik. 30 bahan kimia ini juga termasuk beberapa bahan bioaktif, termasuk racun perosak seperti chlorpyrifos, dan farmaseutikal. Di samping itu, terdapat tiga Hidrokarbon Aromatik Polisiklik (PAH).
Dalam perbincangan di Perjanjian Plastik Global, sesetengah negara memilih pendekatan yang akan bergantung kepada kitar semula plastik sebagai kaedah penting untuk menyelesaikan krisis plastik. Tetapi data baharu ini menambah bukti yang semakin meningkat bahawa kitar semula plastik adalah vektor untuk penyebaran bahan kimia toksik dan oleh itu tidak boleh dianggap sebagai kaedah yang berguna dalam usaha untuk menamatkan ancaman kesihatan dan alam sekitar daripada plastik. Bahan kimia yang terdapat dalam plastik kitar semula mungkin mendedahkan kita kepada kanser, penyakit jantung, gangguan pembiakan, diabetes, obesiti dan keadaan kesihatan serius yang lain.
Plastik dibuat dengan bahan kimia toksik, jadi apabila plastik dikitar semula bahan kimia ini berakhir di dalam bahan kitar semula. Perjanjian Plastik Global yang berkesan perlu menangani ancaman kepada kesihatan awam dan alam sekitar daripada bahan kimia plastik dan memasukkan pendekatan untuk mengawal pengeluaran plastik. Kitar semula bukannya jalan keluar dari masalah plastik toksik.
Banyak laporan sebelum ini mendapati bahawa kitar semula plastik adalah vektor untuk menyebarkan bahan kimia toksik. Plastik dibuat daripada kira-kira 16,000 bahan kimia, sekurang-kurang 25% daripadanya diketahui toksik, dan bagi kebanyakan bahan kimia yang tinggal tiada maklumat tentang kesan kepada kesihatan manusia atau alam sekitar. Plastik kitar semula juga boleh mengandungi bahan cemar kimia daripada cara penggunaan plastik asal. Sebagai contoh, jika bekas plastik racun perosak dikitar semula, racun perosak toksik boleh berakhir di dalam bahan kitar semula.
Selain itu, proses kitar semula plastik boleh mencipta bahan toksik baharu, menambahkan lebih banyak bahan kimia kepada plastik kitar semula. Ini bermakna pekerja di fasiliti kitar semula plastik, pengguna yang menggunakan produk plastik kitar semula, pekerja yang mengendalikan plastik kitar semula dan komuniti berhampiran kilang kitar semula dan operasi pelupusan sisa semuanya berisiko terdedah kepada pelbagai bahan kimia toksik.
Pada masa ini, tiada keperluan antarabangsa untuk memantau bahan kimia dalam plastik kitar semula atau mendedahkan kepada umum kandungan kimia dalam barangan dan produk plastik. Ini bermakna penyebaran bahan kimia daripada plastik kitar semula pada masa ini tidak dapat dikesan dan tidak dapat dikawal. Kawalan antarabangsa diperlukan lanjutan daripada perdagangan antarabangsa yang meluas dalam bahan kimia, plastik dan sisa plastik.
Perjanjian Plastik baharu akan menjadi instrumen penting untuk menangani bahan kimia toksik dalam plastik dalam pelbagai cara. Untuk berbuat demikian, adalah penting bahawa Perjanjian Plastik Global ini mengandungi peruntukan kawalan yang kukuh dan mengikat secara sah yang merangkumi
- penyingkiran bahan kimia toksik sepanjang kitaran hayat penuh plastik;
- pendedahan wajib maklumat mengenai bahan kimia dalam plastik, yang boleh diakses oleh umum;
- langkah untuk mengawal pengeluaran plastik.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Media, 18 April 2024
Pautan dokumen IPEN bertajuk “Hundreds of Toxic Chemicals Present in Recycled Plastic Pellets” https://stoppoisonplastic.org/blog/portfolio/hundreds-of-toxic-chemicals-present-in-recycled-plastic-pellets/
Country Information on Chemicals in Recycled Plastic Pellets from Malaysia: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/04/18-April-2024-Malaysia_Data-on-Chemicals-in-Recycled-Plastic-Pellets.pdf