DIHARAMKAN: 3 Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

Sampel tiga krim muka yang diharamkan oleh Kementerian Kesihatan kerana mengandungi racun berjadual. (Gambar KKM)

Kementerian Kesihatan mengharamkan penjualan 3 produk kosmetik iaitu BL Ledehh Day Cream 2, BL Ledehh Night Cream dan For U Night Cream selepas didapati mengandungi racun berjadual.

Pengguna perlu segera berhenti menggunakan produk ini dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan jika mereka mengalami ketidakselesaan atau kesan buruk, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan.

Penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran 3 produk kosmetik itu serta-merta, lapor Bernama.

Radzi berkata BL Ledehh Day Cream 2 dan BL Ledehh Night Cream didapati mengandungi merkuri.

Beliau berkata merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau janin, selain menyebabkan ruam dan kerengsaan kulit.

For U Night Cream mengandungi bahan terkawal seperti hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate yang hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Radzi berkata 3 bahan itu boleh menyebabkan kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, hipersensitiviti kepada cahaya matahari, mengurangkan perlindungan kulit daripada sinaran ultraungu yang berbahaya, dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Sumber: Free Malaysia Today (21 Ogos 2023)