
Eropah sedang memperketatkan sekatan terhadap satu amalan paling kontroversi dalam dunia fesyen: memusnahkan pakaian dan kasut yang tidak terjual.
Kesatuan Eropah (EU) telah mengharamkan pemusnahan pakaian dan kasut yang tidak terjual di bawah Peraturan Reka Bentuk Ekologi bagi Produk Mampan yang baharu. Undang-undang ini yang menyasarkan amalan lama membakar atau mencarik inventori jenama yang berlebihan bagi menangani masalah pengeluaran berlebihan berpotensi mengurangkan sisa tekstil serta jejak alam sekitar industri fesyen.
Selama berdekad, jenama ini sering membakar atau mencarik inventori baharu yang tidak terjual demi untuk melindungi eksklusiviti jenama dan menguruskan pengeluaran berlebihan. Perundangan baharu ini akan menamatkan amalan itu.
Dengan pengenalan undang-undang baharu ini, syarikat besar tidak lagi dibenarkan memusnahkan pakaian, aksesori, dan kasut yang tidak terjual secara sengaja mulai 19 Julai 2026. Syarikat bersaiz sederhana dijangka akan turut mematuhi peraturan ini menjelang 2030, sementara perniagaan kecil dan mikro dikecualikan. Peraturan ini menggalakkan pengurusan stok yang lebih baik serta amalan seperti penjualan semula, sumbangan, penggunaan semula, pemulihan, dan alternatif ekonomi kitaran yang lain.
Pengharaman ini akan mencegah pembaziran produk yang bernilai termasuk sumber dan bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkannya serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan iklim. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan sisa tekstil dan mendorong industri fesyen ke arah ekonomi kitaran, di mana produk terus digunakan untuk tempoh yang lebih lama dan tidak berakhir di tapak pelupusan sampah atau loji pembakaran sisa.
Setiap tahun, antara 4% hingga 9% tekstil yang tidak terjual di Eropah dimusnahkan. Di bawah peraturan baharu ini, syarikat diwajibkan untuk mendedahkan jumlah stok tidak terjual yang dilupuskan serta sebab pelupusan itu. Dengan mewajibkan pendedahan awam ini, peraturan itu bertujuan untuk menangani masalah sisa tekstil yang sangat besar sehingga mencecah 12.8 bilion paun setiap tahun di EU sekaligus menjadikan ketelusan korporat sebagai satu piawaian alam sekitar yang wajib dipatuhi.
Daripada memusnahkan pakaian, kasut dan aksesori pakaian yang tidak terjual, syarikat-syarikat besar perlu:
🛍️ Menjualnya, termasuk melalui tawaran diskaun atau pasaran alternatif
💚 Mendermakannya kepada badan amal atau perusahaan sosial
🔄 Menggunakannya semula
♻️ Mengitarnya semula
Inisiatif ini memaksa pengeluar global untuk beralih kepada reka bentuk yang tahan lama, boleh dibaiki dan boleh dikitar semula, berbanding trend fesyen pantas yang bersifat pakai buang.
Peraturan ini juga memperkenalkan Pasport Produk Digital, iaitu tag yang boleh diimbas bagi membolehkan pengguna mengakses maklumat mengenai kemampanan dan kitaran hayat sesuatu produk.
Walaupun peraturan ini berasal dari Eropah, kesannya akan bersifat global memandangkan peruncit antarabangsa perlu merombak keseluruhan rantaian bekalan mereka demi mengekalkan akses ke pasaran EU. Peralihan ini menandakan langkah penting ke arah ekonomi kitaran, di mana planet ini tidak lagi perlu menanggung akibat daripada lambakan stok runcit yang tidak terjual.
Undang-undang penting ini, yang direka untuk merombak model industri tekstil moden yang bersifat merosakkan iaitu “ambil, buat, dan buang” bakal mengubah masa depan industri itu ke arah yang lebih mampan: “jual, guna semula, atau dermakan tetapi jangan musnahkannya”.
Sumber: EU Environment; European Council; Unbox Engineering

