Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa bimbang yang amat sangat terhadap peningkatan bilangan haiwan peliharaan eksotik yang dibawa masuk ke negara ini disebabkan ia telah menjadi kesukaan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak.
CAP merasa amat bimbang apabila memikirkan bahawa ibu bapa membeli haiwan eksotik ini untuk anak-anak mereka hanya bagi menenangkan serta memenuhi permintaan mereka. Haiwan eksotik ini selalunya diperolehi oleh orang yang tidak mempunyai pengetahuan, sumber atau komitmen yang mencukupi bagi menjaga haiwan ini dengan betul.
Menurut Dr Michael Gumert, seorang Profesor Psikologi di Universiti Teknologi Nanyang Singapura, penampilan, bentuk, warna, dan keanehannya yang luar biasa itu, atau hanya kerana mereka mengikuti perkembangan pada masa itu, bersama dengan faktor psikologi seperti faktor prestij, atau keinginan untuk menjadi berbeza daripada orang lain adalah menjadi sebab utama orang ramai mahukan haiwan peliharaan eksotik ini.
Haiwan eksotik ini hidup dalam keadaan yang sangat berbeza dengan apa yang dihadapi oleh haiwan ini di dalam sangkar atau tangki, berada beribu batu jauhnya daripada habitat asal semula jadinya. Orang ramai tidak mengetahui akan hakikat bahawa haiwan peliharaan ini memerlukan makanan khas dan keadaan hidup yang amat sukar disediakan.
Kanak-kanak pula sering menganiaya haiwan peliharaan eksotik ini dengan mengendalikannya secara kasar, menyebabkan penderitaan kepada haiwan ini. Selain itu, pemilik haiwan peliharaan eksotik ini juga cuba untuk mengubah sifat semula jadi haiwan itu dengan mengurungnya di dalam sangkar yang kecil dan kosong, merantai, memukul “sehingga menyerah”, atau mendedahkannya kepada pencacatan yang menyakitkan seperti mencabut kuku dan gigi.
Mendapatkan haiwan eksotik ini adalah mudah dan jarang dikenakan penalti kerana majoriti negeri tidak menyimpan rekod yang tepat mengenai haiwan eksotik yang memasuki negeri mereka dan adalah amat mustahil untuk mengetahui dengan tepat berapa banyak haiwan eksotik dipelihara secara persendirian sebagai haiwan peliharaan, tetapi jumlahnya dianggarkan agak tinggi.
Sebaik sahaja haiwan ini disenaraikan sebagai terancam, ia semakin dicari oleh orang ramai yang menginginkan haiwan peliharaan eksotik. Chinchilla, sugar glider, iguana, kura-kura dan penyu, pelbagai primat, burung dan ular adalah antara haiwan peliharaan eksotik yang paling dicari. Carian di dalam Internet untuk membeli kura-kura Indian star memaparkan beberapa laman sesawang yang menjual spesies yang dilindungi. Permintaan bagi haiwan eksotik, terutamanya reptilia, telah menjadikan Semenanjung Malaysia sebagai salah satu pasaran teratas untuk haiwan eksotik yang diseludup.
Permintaan oleh orang ramai menggalakkan lagi penyeludup untuk memburu spesies yang jarang ditemui. Ini melibatkan rangkaian besar dan sindiket yang menggaji kumpulan orang daripada pemburu dan pengumpul di kawasan luar bandar sehinggalah kepada orang tengah dan peniaga di peringkat tinggi di pusat bandar. Laluan bawah tanah dan pelbagai kaedah digunakan untuk memperdaya pihak penguatkuasa yang bukan pakar dalam mengenal pasti pelanggaran Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (Cites).
Tidak semua peruncit teliti dalam memastikan haiwan eksotik yang mereka beli itu diimport secara sah. Haiwan eksotik dalam proses ini mengalami penderitaan pada setiap langkah dalam perjalanan daripada menangkap, mengendali, mengangkut, memelihara, membiak, dan menjual, sehinggalah kepada kurungan seumur hidup di dalam rumah dalam keadaan yang tidak memenuhi syarat, tanpa makanan dan penjagaan yang sempurna, dan yang kemudiannya boleh mengakibatkan kematian atau dibiarkan.
Haiwan eksotik yang terbiar atau melepaskan diri mungkin tersebar di alam liar dan menjadi spesies yang menyerang serta bersaing dengan spesies asli untuk mendapatkan makanan, atau menjangkiti spesies asli dengan penyakit, adalah dua daripada masalah yang dikaitkan dengan haiwan peliharaan eksotik. Haiwan yang sudah jarang ditemui mungkin pupus dengan penangkapan dan kurungan. Dan akhirnya, pemilik haiwan peliharaan eksotik ini yang mempunyai pengetahuan, sumber dan komitmen yang tidak mencukupi untuk menjaga haiwan eksotik ini.
Perdagangan haiwan eksotik yang tidak terkawal ini disebabkan oleh peningkatan bilangan haiwan yang diperdagangkan dan kerana perdagangan ini sebahagian besarnya tidak dikawal. Perundangan yang lebih ketat diperlukan terhadap perdagangan haiwan peliharaan haram dan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang perlu dimaklumkan mengenai undang-undang untuk membantu dalam pemantauan semua kedai haiwan peliharaan di negara ini.
Berdasarkan kepada semua perkara di atas, CAP amat menggesa agar spesies eksotik ini tidak dipelihara sebagai haiwan peliharaan atau hiasan. Sama ada ia diniagakan secara sah atau haram, menjadikan haiwan liar sebagai haiwan peliharaan adalah sesuatu yang amat kejam. Kehidupan dalam kurungan adalah kehidupan yang menderita bagi haiwan liar eksotik.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 26 September 2022