Hari Hak Pengguna Sedunia 2025 – Peralihan yang Adil kepada Gaya Hidup Mampan

Hari Hak Pengguna Sedunia (World Consumer Rights Day – WCRD) ialah kempen yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut setiap tahun pada 15 Mac sejak 1983. Tema tahun ini, “Peralihan yang Adil kepada Gaya Hidup Mampan”, menyeru ke arah keadilan dan kemampanan memandangkan kita kini sedang menghadapi cabaran alam sekitar dan sosial.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan, perniagaan dan pengguna untuk mengambil tindakan yang diperlukan untuk masa depan yang lebih adil dan mampan. Peralihan yang adil bermakna memastikan tiada siapa yang ketinggalan, terutamanya komuniti rentan yang paling terjejas oleh kerosakan alam sekitar dan kesusahan ekonomi. Bidang tumpuan utama termasuk:

1.  Sistem Makanan dan Penggunaan Mampan

Pengguna berhak untuk mendapat makanan yang selamat dan berkhasiat yang tidak membahayakan kesihatan atau alam sekitar. Walau bagaimanapun, sistem makanan global semasa menyumbang kepada penebangan hutan, kehilangan biodiversiti, dan sisa makanan yang berlebihan. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan bahawa 7,000 tan sisa makanan dijana setiap hari di Malaysia, dengan 4,080 tan masih boleh dimakan.

Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia, CAP bekerjasama dengan Penang Suya Meiyarivagan, menganjurkan Program Penjimatan dan Kecekapan Tenaga di Island Glades pada 9 Mac 2025.

Kita perlu beralih ke arah sistem makanan mampan yang mempromosikan hasil tempatan dan organik sambil mengurangkan jejak karbon yang dikaitkan dengan pengimportan makanan. Pertanian mampan bukan sahaja memulihara sumber tetapi juga meningkatkan taraf hidup petani berskala kecil. Pengguna boleh memainkan peranan dengan membuat pilihan makanan dengan hemat dan meminimumkan pembaziran makanan.

2.  Penggunaan Tenaga dan Ke Arah Tenaga Boleh Diperbaharui

Akses kepada tenaga yang berpatutan dan bersih adalah hak pengguna, namun lebih 90% sumber tenaga negara datang terus daripada sumber bahan api fosil, dengan 35.7% daripada minyak, 19.4% daripada gas dan 36.8% daripada arang batu.  Pergantungan ini menyumbang kepada perubahan iklim dan peningkatan kos tenaga. Pengguna sering terjebak dengan bil elektrik yang tinggi disebabkan oleh peralatan yang tidak cekap, infrastruktur yang lemah dan akses terhad kepada alternatif tenaga boleh diperbaharui.

Beralih kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar adalah penting. Walau bagaimanapun, untuk peralihan yang inklusif, kerajaan mestilah memastikan tenaga boleh diperbaharui adalah berpatutan dan boleh diakses untuk semua, terutamanya isi rumah berpendapatan rendah. Kecekapan dan penjimatan tenaga juga memainkan peranan penting. Pengguna boleh mengurangkan penggunaan tenaga dengan memilih peralatan cekap tenaga dan mengamalkan tabiat yang mampan.

Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia, CAP, dengan kerjasama Penang Suya Meiyarivagam, telah menganjurkan Program Penjimatan dan Kecekapan Tenaga di Island Glades pada 9 Mac 2025. Dalam program ini, kami berkongsi panduan penjimatan tenaga yang praktikal dan berkesan yang boleh dilaksanakan dengan mudah di rumah. Para peserta juga belajar bagaimana untuk mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan bil elektrik dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.

3.  Mengurangkan Penggunaan dan Pembaziran Plastik

Pengguna mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran yang bebas pencemaran. Bagaimanapun, Malaysia menggunakan berbilion barangan plastik setiap tahun, yang kebanyakannya berakhir di lautan dan tapak pelupusan sampah.  Kita mesti menghapuskan penggunaan plastik sekali guna, mempromosikan alternatif boleh guna semula dan menambah baik sistem kitar semula. Pengguna boleh menolak plastik yang tidak diperlukan, menyokong inisiatif sifar sisa dan mengambil bahagian dalam program pengasingan dan kitar semula sisa. Kerajaan Malaysia perlu menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat terhadap pengeluaran plastik dan sisa.

4.  Pemuliharaan dan Akses Air

Air adalah hak asasi, namun perubahan iklim, pencemaran dan pengurusan air yang lemah menjadikan air bersih semakin berkurangan. Menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling Malaysia (EQR 2023), daripada 672 sungai yang dipantau, 28% diklasifikasikan sebagai sedikit tercemar atau tercemar. Peralihan yang adil perlu mestilah memastikan semua orang mempunyai akses kepada air yang bersih, selamat dan berpatutan. Ini melibatkan melindungi sumber air semula jadi kita, melabur dalam sistem pengurusan air yang cekap dan mengurangkan pembaziran air dalam isi rumah dan industri.

5.  Pergerakan dan Pengangkutan Mampan

Pengguna mempunyai hak untuk pilihan pergerakan yang berpatutan, selamat dan mampan. Sektor pengangkutan di Malaysia merupakan sumber pelepasan karbon kedua terbesar, menyumbang 22% daripada jumlah pelepasan CO₂ berkaitan tenaga.  Namun, ramai rakyat Malaysia masih kekurangan akses kepada pengangkutan awam yang boleh diharapkan dan berpatutan, memaksa mereka bergantung kepada kenderaan persendirian yang mahal.

Kerajaan mestilah mengutamakan infrastruktur pengangkutan awam, memperluaskan kemudahan pejalan kaki dan berbasikal serta mengawal selia penetapan harga yang adil untuk memastikan pergerakan yang mampan bukanlah satu kemewahan tetapi pilihan yang berpatutan bagi semua pengguna.

Gesaan untuk Bertindak

CAP menggesa penggubal dasar untuk melaksanakan peraturan yang lebih kukuh, perniagaan untuk menerima pakai amalan mampan dan pengguna supaya berhati-hati dan membuat pilihan mesra alam. Gaya hidup mampan bukanlah satu keistimewaan – ia adalah hak asasi yang mesti dilindungi untuk generasi sekarang dan akan datang.

Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia ini, marilah bekerjasama demi dunia yang lebih adil, saksama dan mampan di mana pengguna bukan sahaja dilindungi tetapi diperkasakan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 14 Mac 2025