Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak bertegas bagi meneruskan penambakan laut di Pulau Pinang Selatan, tidak kira sama ada untuk satu atau tiga pulau. Dengarlah suara pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan orang ramai yang berpengetahuan dan jangan tunduk kepada tekanan daripada pemaju dan kontraktor.
Menamakan satu pulau sebagai Pulau Silikon dan usaha untuk menarik pelancong tidak boleh menjadi jawapan kepada soalan yang telah berulang kali kami tanyakan: Apakah keperluan untuk penambakan dengan kesan ekologi dan sosial yang negatif?
Perdana Menteri menggesa supaya projek penambakan itu dikaji semula. Pertimbangan utama kajian semula adalah sama ada projek itu diperlukan dan bermanfaat kepada rakyat. Jangan melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa dan menuntut bagi penambakan satu pulau. Teruskan dengan proses kajian yang perlu dilakukan oleh pakar bebas dengan input daripada CSO. Sementara itu, jangan libatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan terhadap sebarang liabiliti kewangan.
Kerajaan Persekutuan telah pun bersetuju untuk menyediakan dana bagi menambah baik infrastruktur pengangkutan di Pulau Pinang bagi mengatasi kesesakan lalu lintas. Terdapat juga tanah yang mencukupi di negeri Pulau Pinang melibatkan sekitar 30,000 ekar di Seberang Perai dan 1,300 ekar di bahagian pulau untuk pembangunan ekonomi. Jadi kenapa perlu penambakan laut yang begitu luas? Tuan YAB Ketua Menteri, tolong jelaskan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 12 Mei 2023